|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini bertitah bahawa kes jenayah berat membabitkan pelajar kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan mengenai tahap moral, agama dan watak golongan itu.
Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), bertitah kes sedemikian juga menyebabkan imej institusi pendidikan negara tercalar.
Dalam hal itu, Sultan Ibrahim bertitah, sekolah dan institusi pengajian perlu melalui revolusi pendidikan dengan menitikberatkan elemen kemanusiaan, moral serta kawalan emosi selain kesedaran undang-undang.
"Menerusi cara ini, kita akan dapat membentuk sebuah generasi masa hadapan yang berdisiplin serta saling menghormati," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Pro-Canselor UiTM.
Sultan Ibrahim bertitah, usaha menangani perkara itu adalah tanggungjawab sosial yang melangkaui batas bilik darjah.
Baginda bertitah, pendidikan dan pembentukan moral tidak hanya berlaku di kampus atau bilik darjah, sebaliknya perlu bermula dari rumah dalam setiap kehidupan seharian.
"Rumah adalah madrasah pertama bagi setiap insan, tempat anak-anak kita sejak kecil dididik dengan nilai mulia, disiplin dan tanggungjawab kepada masyarakat," titah baginda.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan agar anak-anak perlu dididik untuk menggunakan kemajuan dunia siber dengan berhemah kerana pendedahan kepada kandungan ganas yang berterusan boleh meningkatkan sifat agresif dalam kalangan remaja.
Baginda bertitah, sekatan penggunaan teknologi digital terhadap pelajar tidak akan menyelesaikan masalah, malah hanya akan mengganggu ekosistem pelajaran secara digital dan jarak jauh.
"Hakikatnya, tiada jalan singkat bagi menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar dan golongan remaja.
"ia memerlukan usaha padu semua pihak bermula dari rumah, sekolah, masyarakat, ahli politik dan kerajaan," titah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, istiadat konvokesyen itu yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menyaksikan 32,630 graduan menerima diploma serta ijazah dalam pelbagai bidang.
Konvokesyen kali ini turut menyaksikan bekas Menteri Pendidikan Tinggi Tan Sri Idris Jusoh dilantik sebagai Pro-Canselor UiTM sekali gus memperkukuh barisan kepimpinan universiti dalam menerajui agenda akademik dan pembangunan strategik.
UiTM turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Suhaimi Abdul Talib, tokoh akademik dan jurutera profesional, yang telah mencurahkan bakti lebih tiga dekad dalam bidang kejuruteraan awam serta pendidikan tinggi negara. – BERNAMA |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |