|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 universiti tempatan tersenarai dalam QS World University Rankings: Sustainability (Kelestarian) 2026, termasuk empat universiti baharu yang membuat kemunculan pertama dalam senarai itu.
QS World University Rankings: Sustainability menilai universiti mengenai sejauh mana mereka menangani cabaran alam sekitar global dan sosial yang mendesak, berpandukan metrik selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Daripada jumlah itu, 17 universiti menunjukkan peningkatan kedudukan berbanding tahun sebelumnya, manakala 11 universiti lain mengalami penurunan dan satu institusi mengekalkan kedudukan sama.
Dalam senarai terbaru itu, Universiti Malaya (UM) menduduki tempat ke-166 daripada 2,001 institusi, kukuh dalam kelompok sembilan peratus teratas universiti paling mampan di dunia dan ke-16 di Asia.
UCSI University yang berada di kedudukan 334, mencatat pencapaian tertinggi Malaysia pada indikator Kelestarian Alam Sekitar (Environmental Sustainability), iaitu ke-18 dunia.
Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga 208 pula mencatat prestasi terbaik pada indikator yang sama, dengan kedudukan ke-71.
Antara 17 universiti tempatan yang meningkatkan kedudukan berbanding tahun sebelumnya, adalah Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknologi MARA (UiTM); Universiti Malaysia Sabah (UMS); Taylor's University; Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).
Secara keseluruhan, Universiti Lund di Sweden muncul di tangga teratas buat pertama kali sejak ranking ini diperkenalkan pada 2023.
University of Toronto, yang pernah menjadi universiti terbaik dunia pada kategori kelestarian pada 2024 dan 2025, turun ke tempat kedua, diikuti oleh UCL di United Kingdom, yang meningkat dua anak tangga ke kedudukan ketiga.
Tahun ini, terdapat 2,001 universiti tersenarai merentasi 106 sistem pendidikan tinggi, meningkat daripada kira-kira 1,750 universiti pada edisi sebelumnya.
Amerika Syarikat (AS) mencatat penyertaan terbanyak dengan 240 universiti, diikuti oleh China (163), United Kingdom (109), India (103) dan Perancis (76).
Metodologi QS Sustainability 2025 menilai universiti berdasarkan tiga kategori utama iaitu Impak Alam Sekitar (Environmental Impact) sebanyak 45 peratus yang merangkumi kelestarian, pendidikan dan penyelidikan alam sekitar.
Selain itu, Impak Sosial (Social Impact) juga 45 peratus, merangkumi kesaksamaan, pertukaran pengetahuan, impak pendidikan, kebolehpasaran graduan, serta kesihatan dan kesejahteraan manakala, Tadbir Urus (Governance) sebanyak 10 peratus yang menilai aspek etika, ketelusan, amalan pengambilan pekerja dan proses membuat keputusan.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |