Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Aizat Sharif
Title :Tok Pa dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan UniMAP
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :22 November 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
ARAU: Bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), hari ini. Ijazah kehormat disampaikan Canselor UniMAP yang juga Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai mengenang jasa ketika menerajui portfolio Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2006 hingga 2008. Jasa Mustapa banyak memberi kesan menerusi pentadbirannya terutama dalam keputusan yang menaik taraf beberapa kolej universiti teknikal dan Islam melalui penjenamaan semula termasuk UniMAP. Dilahirkan pada 25 September 1950 di Bachok, Kelantan, Mustapa atau dikenali sebagai Tok Pa menerima pendidikan awal di Government English School (GES) Bachok sebelum melanjutkan pengajian ke University of Melbourne, Australia dan University of Boston, Amerika Syarikat. Mustapa pernah menjadi Ahli Parlimen Jeli dari 1995 hingga 1999 dan 2004 hingga penggal lalu selain memegang beberapa portfolio penting seperti Timbalan Menteri Kewangan, Menteri Kewangan II, Menteri Pembangunan Usahawan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran lima Perdana Menteri, dari Tun Dr Mahathir Mohamad hingga ke Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tok Pa cukup dikenali dengan kepemimpinan yang reflektif dan sentiasa menjalin hubungan baik dengan warga akademik UniMAP, termasuk melalui pertemuan bersama pensyarah, semakan reka bentuk program serta pengukuhan budaya kerja di universiti itu. Beliau juga mengusahakan inisiatif anak angkat UniMAP di Kampung Jeli Seberang, Kelantan dengan mengambil anak kampung itu sebagai mentee untuk dibimbing dan disokong dalam pendidikan mereka. Sementara itu, dalam sesi yang sama juga, anakanda Raja Muda Perlis, Sharifah Khatreena Nuraniah Putra Jamalullail dilantik sebagai Pro Canselor UniMAP yang kedua. Turut hadir dalam istiadat berkenaan, Pro Canselor, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Naib Canselor, Datuk Dr Zaliman Sauli.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035