|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BANGI: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, melahirkan kebimbangan yang amat serius berhubung salah laku dalam proses perolehan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM).
Tuanku Muhriz, yang juga Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bertitah bahawa salah laku tersebut membabitkan tiga tender utama bernilai RM58.45 juta.
"Setahun yang lalu, beta terkejut apabila menerima aduan daripada beberapa pakar perubatan kanan di HCTM mengenai salah laku serius dalam proses perolehan hospital.
"Aduan ini seterusnya disiasat dan disahkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara.
"Beberapa syarikat yang tidak mendapat kelulusan jawatankuasa pemilihan telah dilantik untuk melaksanakan projek ini.
"Jika tindakan sewajarnya tidak diambil, salah laku ini akan memberi kesan negatif bukan sahaja dari segi kewangan, malah akan menurunkan kualiti perkhidmatan, keselesaan dan penjagaan pesakit, serta mengganggu latihan pelajar perubatan di HCTM.
"Ia juga akan menjejaskan kualiti HCTM dan melemahkan kredibiliti UKM," titah Tuanku Muhriz pada Majlis Konvokesyen Ke-53 UKM hari ini.
Tuanku Muhriz bertitah, bagi memulihkan keadaan, UKM perlu menjalani pembaharuan dari segi tadbir urus dan pentadbiran.
"Respons dari Kementerian Pendidikan Tinggi agak perlahan, namun satu langkah penting telah diambil dengan pelantikan Naib Canselor UKM yang baharu."
Tuanku Muhriz berkata, baginda baru-baru ini dimaklumkan bahawa selain isu di hospital, bentuk salah laku lain turut wujud dalam UKM.
"Siasatan mengenai perkara ini sedang dijalankan.
"Beta menggesa semua pihak berkuasa yang berkaitan lebih berwaspada dan bertindak segera terhadap mereka yang terbabit dalam salah laku tersebut.
"Pelantikan pengurusan tertinggi universiti mesti membabitkan calon yang layak dan bertanggungjawab.
"Bagi mengekalkan kecemerlangan yang dicapai, UKM perlu terus diterajui oleh individu yang berintegriti tinggi dan amanah.
"Kejayaan yang dicapai akan musnah jika pentadbir universiti mengambil kesempatan atas kedudukan mereka demi kepentingan peribadi.
"Pemimpin yang terbabit dalam salah laku tidak layak untuk menguruskan sebuah universiti, terutamanya UKM yang menjunjung falsafah 'Ilmu, Mutu dan Budi'," titah baginda lagi.
Tuanku Muhriz turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi untuk terus menyokong usaha pembaharuan di UKM.
"Ini termasuk mempercepatkan pelantikan pengurusan kanan, terutamanya ahli Lembaga Pengarah universiti dan timbalan-timbalan naib canselor."
Turut hadir pada majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Pro-Canselor UKM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tan Sri Rafiah Salim, serta Naib Canselor Profesor Dr Sufian Jusoh. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |