|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SINTOK: Empat pensyarah bersama 36 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 di Hatyai, Thailand antara rakyat Malaysia yang dilapor terkandas susulan banjir melanda lokasi pelancongan negara jiran itu.
Pensyarah dan pelajar dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) itu sepatutnya dijadual pulang hari selepas dua hari dikatakan menyertai program terbabit.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata pihak universiti memberi jaminan bahawa kebajikan dan keselamatan semua pelajar serta pensyarah terbabit menjadi keutamaan.
"UUM sedang memantau keadaan dari semasa ke semasa dan berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia di Hatyai bagi memastikan semua bantuan diperlukan dapat disalurkan segera.
"Setakat ini, mereka selamat dan penyelarasan sedang dilakukan bagi memastikan urusan program dan perjalanan pulang dapat diteruskan sebaik keadaan pulih," katanya melalui kenyataan.
UUM turut menasihatkan keluarga pelajar serta staf supaya bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden berkenaan.
"Kami komited memastikan keselamatan dan kebajikan semua pelajar serta staf terjamin terutama dalam situasi luar jangka seperti ini," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |