|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| ARAU: Pengalaman mencemaskan akibat banjir besar dan penutupan laluan di selatan Thailand tidak menghalang tiga graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menamatkan pengajian mereka dengan penuh bermakna apabila berjaya hadir ke slot khas Istiadat Konvokesyen Ke-20 UniMAP, hari ini.
Graduan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK), Ooi Ji Ean dan Vishaak Anbanathan, masing-masing berusia 23 tahun dari Kulim, sebelum ini terkandas beberapa hari di Hatyai ketika bercuti bersama tujuh rakan di mana mereka sepatutnya menghadiri konvokesyen pada Ahad lalu.
Vishaak berkata, mereka menaiki van ke Hatyai dan meninggalkan kereta di Bukit Kayu Hitam sebelum banjir yang menyebabkan ribuan pelancong terkandas dan berlaku kesesakan luar biasa.
"Kami akhirnya dapat pulang dengan menaiki bas dari Stesen Bas Hatyai ke Danok dengan caj RM40 seorang sebelum berjalan kaki ke Bukit Kayu Hitam untuk mengambil kereta.
"Kami bersyukur kerana dapat menumpang bas bersama rakyat Malaysia lain yang turut terkandas.
Dapat bertemu keluarga dan hadir ke slot khas hari ini adalah satu kelegaan," katanya.
Seorang lagi graduan, Haniswati Rahmat, 25, dari Kluang yang turut berdepan detik mencabar buat dirinya apabila konvoi keluarganya terpaksa bergerak mengikut laluan alternatif yang dipandu arah oleh pihak berkuasa Thailand.
"Saya rasa walaupun tidak dapat bergraduasi bersama rakan sekelas pada Sidang Tiga lalu peluang menerima ijazah semasa slot khas itu menjadi kenangan paling manis.
"Saya sangat bersyukur dapat kembali ke Malaysia dan sempat menginap bersama keluarga sebelum hadir ke slot khas. Terima kasih UniMAP kerana sangat prihatin dan memberi ruang kepada kami menerima skrol di atas pentas," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, slot khas pada Sidang Lapan itu diadakan sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap graduan yang tidak dapat hadir sebelum ini akibat situasi luar jangka.
"UniMAP mahu memastikan tiga graduan berkenaan tetap diberi peluang menerima ijazah mereka secara bersemuka kerana ini komitmen kami terhadap pelajar.
"Usaha membantu komuniti terus menjadi keutamaan universiti, termasuk menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kubang Gajah dan Dewan Ilmu Kampus Alam Pauh Putra bagi membantu mangsa banjir.
"Selari dengan tagline 'UniMAP for Society', kami bertindak segera membantu masyarakat terkesan dan semoga banjir segera surut dan semua diberi kekuatan menghadapi ujian ini," katanya.
Sebelum ini, dianggarkan terdapat 20 pelajar UniMAP termasuk graduan kampus itu yang sepatutnya menghadiri Istiadat Konvokesyen Ke-20 UniMAP bermula Ahad lalu gagal untuk menghadirkan diri mereka selepas terkandas di Hatyai, Thailand akibat bencana banjir yang berlaku di kawasan itu. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |