Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed
Title :Mengangkat legasi gemilang Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Canselor USM
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :27 November 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia (USM) membuka tirai Konvokesyen Ke-63 dengan penuh istiadat, kelmarin, menandakan permulaan 14 sidang konvokesyen yang berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember ini, membabitkan 9,347 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian. Upacara pembukaan disempurnakan dengan penuh istiadat oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Canselor USM, yang berkenan berangkat mengurniakan ijazah kepada graduan. Dalam suasana penuh dengan adat, tradisi dan kemuliaan ilmu di Dewan Tuanku Syed Putra USM itu, graduan menerima ijazah dengan rasa penuh hormat, disaksikan Canselor yang sekian lama memayungi universiti ini dengan kebijaksanaan, keteguhan dan visi mencerdaskan bangsa. Konvokesyen ini manifestasi tertinggi penghormatan terhadap perjalanan ilmu, kesungguhan sarjana, ketekalan tenaga akademik dan keutuhan kepimpinan diraja yang menjadi asas kekuatan USM. Di bawah payung naungan Tuanku Canselor, USM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai Menara Ilmu unggul negara, universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa yang menjadi peneraju dalam inovasi, kelestarian, pembangunan komuniti serta pemerkasaan nilai sejagat. Tuanku Syed Sirajuddin dilahirkan di Arau, baginda anakanda kedua kepada Almarhum Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail dan Almarhumah Tuanku Tengku Budriah Tengku Ismail, pewaris keturunan diraja dihormati atas ketinggian budi, etika dan kecintaan kepada ilmu. Perjalanan pendidikan baginda bermula di Sekolah Melayu Arau, kini dikenali Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, sebelum berpindah ke Pulau Pinang untuk menamatkan pendidikan rendah di Sekolah Wellesley dan Westland. Baginda meneruskan pendidikan menengah di Penang Free School sebelum berangkat ke Wellingborough Public School, England. Ketika masih menuntut, baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perlis pada 30 Oktober 1960. Selepas menamatkan persekolahan, potensi kepemimpinan dan jiwa perwira Tuanku Syed Sirajuddin terserlah apabila diterima masuk ke Royal Military Academy Sandhurst di United Kingdom (UK). Latihan ketenteraan bertaraf dunia itu membentuk disiplin, keberanian dan kecekalan baginda. Selesai latihan, baginda kembali ke tanah air pada 1965 sebagai Leftenan Muda dalam Kor Peninjau, kini dikenali sebagai Kor Armor Diraja dan berkhidmat di Sabah serta Sarawak pada era konfrontasi. Semangat juang dan dedikasi baginda mencerminkan pemimpin diraja berpaut teguh pada amanah kepada negara. Pada 1967, baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, kemudiannya dimasyhurkan sebagai Raja Puan Muda Perlis. Perkahwinan diraja ini, dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Datuk Seri Sharifah Fazira. Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 dan dipilih Majlis Raja-Raja pada 13 Disember 2001 sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-12. Sebagai Ketua Negara, baginda memayungi bidang perundangan, kehakiman dan eksekutif serta menjadi Ketua Agama Islam dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Semasa memegang jawatan ini, Baginda menjalinkan hubungan diplomatik dengan lebih 20 negara, malah diberi penghormatan mewakili Queen Elizabeth II untuk menyempurnakan Istiadat Tamat Latihan Kadet Sandhurst pada 2005, suatu pengiktirafan luar biasa terhadap jasa dan kewibawaan baginda. Falsafah kepemimpinan baginda jelas menekankan seorang pemimpin perlu berfikiran terbuka, praktikal, kreatif, bernas, holistik, bijaksana dan berintegriti. Dalam setiap titah, baginda menyeru agar nilai ilmu, kemanusiaan dan kebijaksanaan menjadi asas setiap langkah. Ungkapan 'Raja dan rakyat berpisah tiada' hidup dalam setiap gerak baginda, terserlah melalui inisiatif kemasyarakatan, kebajikan, pendidikan dan sukan yang dipayungi Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin dan Yayasan Tuanku Fauziah. Canselor pertama USM Hubungan erat antara institusi diraja Perlis dengan USM menonjol sebagai tradisi penuh makna dan bersejarah. Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Canselor pertama USM pada 10 Jun 1972, membuka lembaran awal kepemimpinan diraja memayungi kecemerlangan akademik universiti. Pada 18 April 2000, Tuanku Syed Sirajuddin dimasyhurkan sebagai Canselor Kedua USM dalam istiadat gemilang sempena Konvokesyen Ke-29 di Dewan Tuanku Syed Putra, yang disempurnakan Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Musa Mohamad. Pelantikan ini menandakan kesinambungan kepemimpinan diraja dalam memartabatkan tradisi akademik dan nilai luhur USM. Apabila baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-12 pada 2001, tanggungjawab Canselor diserahkan kepada Tuanku Tengku Fauziah, yang memayungi universiti dengan penuh kebijaksanaan sehingga 2006. Setelah menamatkan tugas sebagai Ketua Negara, Tuanku Syed Sirajuddin dimasyhurkan semula sebagai Canselor Ke-4 USM pada 20 Mac 2007, meneruskan legasi kepemimpinan, mengekalkan tradisi dan memperkukuh hubungan erat antara institusi diraja Perlis dengan USM hingga hari ini. Di bawah naungan Tuanku Canselor, USM terus menempa nama sebagai universiti penyelidikan terkemuka, diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai peneraju inovasi dan kelestarian. Sebagai universiti APEX pertama negara, USM memacu penyelidikan berimpak tinggi, teknologi hijau, pembangunan komuniti, penghasilan bakat negara dan pengembangan ilmu dalam pelbagai bidang baharu. Aspirasi USM, 'Kami Memimpin' menjadi kenyataan melalui pencapaian global, jaringan industri, kecemerlangan akademik dan dedikasi warganya untuk menjadikan universiti ini peneraju pendidikan tinggi serantau. Visi USM untuk Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok selari dengan titah dan falsafah Tuanku Canselor yang menekankan kelestarian, nilai kemanusiaan, keilmuan dan kesejahteraan generasi akan datang. Konvokesyen Ke-63 USM meraikan kejayaan graduan sambil mengangkat legasi kepemimpinan Tuanku Syed Sirajuddin yang begitu akrab dengan universiti ini. Setiap pengurniaan ijazah disertai doa restu, harapan dan keyakinan bahawa graduan akan menjadi pemimpin masa depan berilmu, berakhlak mulia dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara. Dalam suasana istiadat penuh adat, ijazah disemat dengan penuh makna, diiringi titah, harapan dan hikmah diwariskan Tuanku Canselor. Kepemimpinan baginda memayungi USM dengan kasih, kebijaksanaan dan visi yang jauh ke hadapan terus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga universiti. Naib Canselor USM, Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed dan seluruh warga USM menzahirkan setinggi-tinggi sembah menjunjung kasih ke hadapan Tuanku Syed Sirajuddin atas segala jasa, kepemimpinan dan perhatian baginda terhadap universiti sejak sekian lama. Di bawah payung kedaulatan Tuanku, USM terus melangkah sebagai institusi unggul, memimpin di pentas global dan memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat, negara dan dunia. Penulis adalah Naib Canselor USM
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035