Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :Sultan Nazrin kurnia ijazah kehormat kepada Tengku Maimun
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :29 November 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau. Tengku Maimun adalah alumni Universiti Malaya (UM) yang mencipta sejarah dalam kerjaya perkhidmatan kehakiman negara termasuk menjadi wanita pertama dilantik Ketua Hakim Negara. Sultan Nazrin yang juga Canselor universiti itu turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada beberapa nama besar dalam bidang klinikal, sains dan bukan sains pada Istiadat Konvokesyen ke-65 UM di sini, hari ini. Penerima dalam bidang klinikal dan sains adalah Prof Dr Khoo Ee Ming (Perubatan Keluarga), Prof Dr Phrabhakaran Nambiar (Odontologi Forensik dan Radiologi Mulut & Maksilofasial), Prof Datuk Dr Rohana Yusof (Virologi) serta Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud (Epidemiologi dan Informatik Kesihatan). Dalam bidang bukan sains, gelaran Profesor Emeritus dikurniakan kepada Prof Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin (Astronomi dan Astronomi Islam) dan Prof Datuk Dr Ahmad Hidayat Buang (Undang-Undang Islam Kontemporari). Terdahulu, Sultan Nazrin mengisytiharkan pelantikan Tan Sri Mohd Annuar Zaini sebagai Pro-Canselor UM. Sultan Nazrin bertitah, graduan perlu bijak mengurus kejayaan, kekal merendah diri dan berpegang pada nilai moral supaya tidak tergelincir menempuh cabaran apabila memasuki alam pekerjaan. Titah baginda, cara mengurus setiap kejayaan akan menentukan sama ada graduan mencapai puncak kecemerlangan atau sebaliknya tergelincir dan berakhir dengan kekesalan yang tiada berhujung. "Anda perlu memiliki kebijaksanaan mengurus kejayaan terutama yang datang secara mengejut. Berbahagialah mereka yang bijak menguruskan kejayaan dicapai, lalu dijadikan anak tangga untuk mendaki kejayaan lebih tinggi. "Sebaliknya amat malang jika kejayaan dicapai termusnah kerana kurang keupayaan mengurus kejayaan secara bijaksana," titah baginda. Baginda turut mengingatkan graduan supaya melengkapi kejayaan dengan nilai moral murni dan menghindari perbuatan yang merosakkan diri serta keluarga. "Jadikan diri insan bersopan dan beradab, amanah, jujur, ikhlas dan berintegriti, supaya anda terus mengangkat martabat diri serta nama baik keluarga. Hindarkan diri daripada terjebak dengan perbuatan yang boleh memusnahkan diri dan mengaibkan keluarga. "Gunakan ilmu sebagai cahaya penyuluh memandu perjalanan hidup supaya terhindar daripada kegelapan. Gunakan kebijaksanaan untuk membina dunia lebih adil, damai, makmur dan berperikemanusiaan," titah baginda. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035