Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Saadiah Ismail
Title :Graduan UM cacat penglihatan peroleh Ijazah Doktor Falsafah
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :29 November 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Cacat penglihatan tidak pernah menghalang seorang graduan ijazah Doktor Falsafah (PhD) untuk berada sebaris dengan rakan graduan yang lain menerima skrol di atas pentas. Dr Noorilham Ismail, 35, yang cacat penglihatan akibat demam panas pada usia lapan tahun, berkata kekurangan dirinya tidak pernah sesekali melunturkan semangatnya untuk mencapai impian belajar hingga ke tahap tertinggi. Katanya, ibu, Salimah Kassim dan isterinya, Zarifah Arsani, 31, disifatkan sebagai tulang belakang atas kejayaannya kerana kesetiaan yang tidak berbelah bahagi sentiasa berada di sisinya setiap kali memerlukan bantuan. "Bersyukur kerana mempunyai isteri yang begitu setia membantu untuk membaca buku, menjadi penunjuk jalan dan berada di luar negara ketika saya ingin mencari bahan di Amerika Syarikat (AS) dan England. "Boleh dikatakan isteri saya membantu dua pertiga daripada perjalanan saya menggenggam ijazah kedoktoran ini. Dari segi teknikal, dia banyak membantu seperti nota kaki dan bibliografi. "Bukan mudah kerana untuk menyiapkan tesis saya, ia perlu dalam sekurang-kurangnya 400 helai muka surat," katanya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini. Beliau yang menyiapkan tesis bertajuk 'Penglibatan Amerika Syarikat Dalam Perang Falkland 1982-1983' adalah seorang daripada 686 graduan yang menerima ijazah kedoktoran yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini. Dalam istiadat hari ini, Sultan Nazrin turut berkenan menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada Tun Tengku Maimun Tuan Mat, alumni UM yang mencipta sejarah dalam kerjayanya dan dalam sejarah perkhidmatan kehakiman negara, sebagai wanita pertama diamanahkan tanggungjawab sebagai Ketua Hakim Negara. Sementara itu, beliau yang kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim kerana membantu menaja kos penginapannya ketika berada di AS. "Bantuan beliau amat bermakna kerana saya juga mempunyai cabaran dalam kewangan. Tetapi dalam masa yang sama, saya mendapat biasiswa daripada Tokyo Foundation dan itu digunakan untuk membiayai pengajian saya. "Terima kasih kepada Menteri KESUMA, Steven Sim kerana membantu menaja sepanjang perjalanannya mendapatkan ijazah PhD ini. "Saya mungkin hanya nampak cahaya saja, namun itu tidak pernah menghalang saya untuk terus melangkah ke hadapan," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035