|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mengisytiharkan pelantikan Tan Sri Mohd Annuar Zaini sebagai Pro-Canselor Universiti Malaya (UM) pada Istiadat Konvokesyen ke-65 universiti itu, di sini, hari ini.
Mohd Annuar, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyifatkan pelantikan berkuat kuasa pada 1 September 2025 hingga 31 Ogos 2028 itu, sebagai satu penghormatan besar bagi diri dan keluarga.
"Saya bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan satu penghormatan tinggi dalam akademik negara.
"Saya juga menjunjung kasih kepada Tuanku Canselor, Sultan Nazrin kerana memberi amanah dan kepercayaan kepada saya," katanya kepada Bernama.
Beliau turut berkongsi pandangan tentang hala tuju UM, khususnya dalam meningkatkan sumber kewangan universiti melalui penglibatan alumni.
Mohd Annuar menyarankan setiap alumni menyumbang secara berterusan, sekurang-kurangnya RM100 setahun, sebagai satu daripada cara membangunkan infrastruktur universiti yang telah dibina sejak tahun 1960-an.
"Saya percaya, walaupun RM100 itu sedikit, ia boleh menjadi tabung pembangunan universiti. Saya mahu mengaktifkan alumni supaya universiti mempunyai dana yang dapat membantu pembangunan dan memastikan UM kekal relevan serta berada di ranking teratas dunia," katanya.
Mohd Annuar bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan turut memegang beberapa jawatan penting antaranya Pengerusi UDA Holdings Berhad dan Pengerusi Bebas 7 Eleven Malaysia Holdings Bhd.
Pada istiadat konvokesyen itu, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai penghargaan terhadap jasa serta sumbangannya.
Baginda, yang juga Canselor universiti itu turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada beberapa tokoh terkemuka dalam bidang klinikal, sains dan bukan sains termasuk Prof Datuk Dr Rohana Yusof dan Prof Dr Khoo Ee Ming. – BERNAMA |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |