|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Kejayaan program pengantarabangsaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi pelaksanaan program ijazah dual, penyelidikan bertaraf antarabangsa dan kerjasama industri global terus membuahkan hasil apabila universiti itu mencatat kadar bekerja graduan (GE) antara tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 99.1 peratus tahun lalu.
Lebih membanggakan, sebahagian besar graduan UMPSA kini menikmati gaji permulaan premium sekurang-kurangnya RM4,000, sekali gus menunjukkan peningkatan berterusan dalam jumlah graduan berpendapatan tinggi, satu pencapaian mencerminkan kekuatan program akademik dan hubungan industri universiti berkenaan.
Pada masa sama, pencapaian UMPSA yang diiktiraf antarabangsa mengukuhkan kedudukan untuk diiktiraf sebagai Hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ini berteraskan kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak, kerjasama global dan penghasilan graduan berkualiti tinggi.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, berkata universiti itu sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik pada peringkat antarabangsa.
Katanya, program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia.
"UMPSA juga satu-satunya universiti awam di negara ini yang mempunyai program kerjasama antarabangsa dengan kerjasama rakan strategik, HKA yang kini memasuki tahun ke-15 melaksanakan 11 program ijazah dual.
"Universiti ternama lain adalah Technische Hochschule Mannheim (THM) (Technical University of Applied Sciences Mannheim) , Jerman; Beijing Jiaotong University (BJTU), Tianjin University, China; Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan.
"UMPSA juga mencatat sejarah baharu apabila kumpulan pertama perintis seramai 45 graduan program kerjasama UMPSA dan BJTU berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang kejuruteraan rel tahun ini.
"Ia dalam pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik yang bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara pada masa depan," katanya.
Dalam bidang penyelidikan pula, Dr Yatimah berkata, UMPSA memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek industri dengan industri setempat untuk memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan untuk manfaat masyarakat seiring tagline 'Teknologi untuk Masyarakat'.
Perkukuh penyelidikan
Katanya, UMPSA terus memperkukuh kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan inovasi apabila seramai 27 penyelidik UMPSA menerima peruntukan dana penyelidikan berjumlah RM3,266,780 di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Selain itu, impak penerbitan yang menjadi rujukan dalam kalangan ahli akademik, terutama bidang sains dan teknologi.
"Ini dibuktikan apabila seramai 25 penyelidik UMPSA tersenarai sebagai World's Top 2% Scientist dalam kategori Career-Long Achievement dan kategori Single Year Achievement berdasarkan Elsevier Database, Stanford University baru-baru ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seiring dengan UMPSA sebagai peneraju sektor automotif negara dan pusat peneraju dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju di rantau ini, UMPSA memberi tumpuan terhadap bidang seperti tenaga lestari, automasi industri dan transformasi digital.
Ia juga sebagai pusat rujukan latihan dan pensijilan TVET yang berwibawa bagi rantau ini termasuklah penawaran program Ijazah Dual TVET dengan kerjasama strategik institusi luar negara dengan memberi tumpuan bidang seperti tenaga lestari, automasi industri dan transformasi digital," katanya.
Dr Yatimah berkata, universiti itu berhasrat menjadi hab utama TVET termaju di rantau ini untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang utama.
Ini seiring dengan hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai negara yang melahirkan tenaga mahir dan juga pusat rujukan latihan serta pensijilan TVET yang berwibawa bagi rantau ASEAN.
Katanya, UMPSA bekerjasama dengan institusi pendidikan, rakan industri, institusi dalam dan luar negara serta agensi kerajaan untuk memenuhi keperluan semasa serta mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih dinamik.
Beliau berkata, UMPSA berjaya mengukuhkan kedudukan sebaris universiti bertaraf dunia serta menghasilkan program akademik diiktiraf pada peringkat global dengan penyelidikan berkualiti serta memberi impak terhadap pendidikan tinggi negara.
Katanya, pencapaian itu menjadikan sumber kebanggaan buat seluruh warga UMPSA yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kerjasama industri dan peningkatan penyelidikan berimpak serta kolaborasi akademik yang menyumbang terhadap pencapaian UMPSA.
"Ini mencerminkan usaha berterusan UMPSA dalam meningkatkan reputasi dan kecemerlangan dalam arena pendidikan tinggi global.
"Penarafan bukan agenda utama universiti tetapi kedudukan itu membuka ruang dan peluang yang lebih luas buat UMPSA terus mengorak langkah ke hadapan dalam meneroka dan memperbaharui semua aspek penyelidikan, pengantarabangsaan dan kelestarian," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |