Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :-
Title :Guna pemikiran P Ramlee tangani cabaran moral, perubahan sosial
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :01 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TANJUNG MALIM: Seminar Pemikiran P Ramlee di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) di sini, Sabtu lalu menekankan karya seniman agung. Allahyarham Tan Sri P Ramlee, bukan sekadar hiburan, sebaliknya, medium pendidikan yang sarat dengan nilai amanah, integriti dan pembentukan jati diri bangsa. Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB), Datuk Seri Ahmad Burak berkata, karya Allahyarham Ramlee mengandungi falsafah pemikiran mendalam yang masih relevan dan wajar dijadikan rujukan dalam mendepani cabaran moral serta perubahan sosial masa kini. "P Ramlee adalah pendidik masyarakat melalui seni, dengan setiap naskhah yang dihasilkan menampilkan kritikan sosial tajam, mesej kemanusiaan serta pengajaran moral yang disampaikan secara santai namun berkesan. "Dialog seperti dalam filem Anak Bapak jelas memperlihatkan penekanan terhadap amanah dan integriti. Pesanan bahawa sekali hilang kepercayaan, ia sukar dipulihkan, membuktikan bagaimana seni digunakan untuk memupuk nilai murni dalam masyarakat," katanya ketika merasmikan seminar Pemikiran P Ramlee di Dewan Konvensyen E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI di sini, Sabtu lalu. Ahmad berkata, karya seperti Bujang Lapok , Anakku Sazali, Antara Dua Darjat dan Tiga Abdul turut mengetengahkan aspek disiplin, tanggungjawab, hormat-menghormati, kepentingan ilmu serta hubungan keluarga, selaras dengan konsep pendidikan holistik merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Seminar anjuran Program Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia ( BUDIMAN), Persatuan Alumni Suluh Budiman, Persatuan Persuratan Melayu dan Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang itu menampilkan tiga panel UPSI, iaitu Prof Madya Dr. Ariff Mohammad, Dr Azam Sulong dan Dr Siti Fariza Mohamad Isa. Seminar yang dipengerusikan Dr Hasrina Baharum itu mengupas aspek pemikiran pendidikan, kritikan sosial dan falsafah kemanusiaan dalam karya seniman agung itu. Sementara itu, Presiden Persatuan Peminat P Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, Allahyarham P Ramlee tidak harus dilihat semata-mata sebagai penghibur, tetapi sebagai pemikir dan pendidik masyarakat melalui seni yang merakamkan falsafah, nilai dan kritikan sosial dengan begitu halus sehingga terus menjadi rujukan sepanjang zaman. "Sebagai seseorang yang sudah lama mengikuti warisan beliau, saya sering menegaskan bahawa P Ramlee bukan sahaja menghiburkan, tetapi membentuk sikap, adab dan pemikiran masyarakat Melayu," katanya. Beliau berkata, nilai pendidikan dan kemanusiaan dalam karya P Ramlee bersifat abadi, malah, penting untuk difahami generasi muda sebagai asas pembinaan jati diri bangsa. "Seminar seperti ini sangat penting untuk menghimpunkan sarjana dan penggiat seni serta menyemai kesedaran bahawa seni adalah pendidikan. "Saya berharap kajian terhadap pemikiran P Ramlee terus diperluas di UPSI dan institusi lain, serta dijadikan bahan pengajaran dalam kursus seni, bahasa dan pendidikan," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035