Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Suraya Ali
Title :Graduan UPNM perlu jadi pembina tamadun unggul, pemimpin muda negara - Agong
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :02 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berperanan sebagai pembina tamadun unggul menggunakan ilmu yang diperoleh untuk kemajuan ummah dan menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin muda negara. Susulan itu, baginda bertitah, graduan tidak boleh leka dalam mengharungi arus kemodenan dan terbabit dalam perkara tidak sihat. Titah baginda, graduan adalah aset strategik untuk memacu negara ke arah kemajuan dan masa hadapan lebih gemilang. "Graduan perlu menggunakan ilmu dengan sebaik-baiknya dan jadilah seorang pemimpin muda yang berguna kepada negara, jangan sekali-kali menghampakan harapan ibu bapa dan melakukan perkara yang boleh meruntuhkan jati diri negara," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UPNM ke-15, hari ini. Turut hadir, Pro Canselor UPNM, Tan Sri Dr Mohd Anwar Mohd Nor; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar. Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Datuk Arman Rumaizi Ahmad dalam ucapannya berkata, graduan pada hari ini bukan saja menjadi tonggak kepada keupayaan minda pertahanan negara, malah menjadi penentu masa depan Malaysia yang berdaulat. Beliau berkata, ini selari dengan tema Konvokesyen UPNM tahun ini iaitu 'Graduan berwawasan pewaris berdaulat.' Pada konvokesyen kali ini, sejumlah 1,011 pelajar berjaya menamatkan pengajian bagi 2024 dan 2025 dengan 15 orang daripadanya adalah penerima Program Siswa Sulung, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi ruang kepada anak keluarga B40 menjadi graduan generasi pertama dalam keluarga mereka. Selain itu, 24 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 55 dianugerah Ijazah Sarjana, 783 (Sarjana Muda) dan 149 (Diploma). UPNM turut menganugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua penerima iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Sistem Komputer), Kalishwaran Saravanan dan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan, Iffah Dahlia Mahadzir. Selain itu, Pengarah Urusan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim yang menamatkan pengajian doktor falsafah pengurusan dan pentadbiran Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan dianugerahkan Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor (Sains Sosial). Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor (Sains dan Teknologi) pula dianugerahkan kepada Kapt Ts Dr Thacnatharen Nagarajan.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035