|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) bertindak pantas memberikan rawatan awal kepada seorang warga emas yang rebah di luar dewan konvokesyen.
UPM dalam satu kenyataan berkata, tindakan pantas graduan Doktor Perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Muhammad Husni Abu Bakar, itu berlaku sejurus beliau keluar dari dewan dan melihat seorang wanita warga emas rebah secara tiba-tiba.
"Muhammad Husni segera melakukan penilaian kecemasan menggunakan prinsip asas Airway, Breathing, Circulation (ABC), membantu melancarkan pernafasan mangsa dan memastikan kawasan sekeliling selamat.
"Beliau menilai nadi, tahap respons dan pernafasan mangsa dengan tenang berdasarkan latihan klinikal yang dipelajari.
"Tindakan cepat itu membantu memberi ruang sebelum keluarga membawa wanita berkenaan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
UPM berkata, Muhammad Husni sedang menjalani latihan siswazah perubatan di Hospital Seri Manjung, Perak dan mempunyai minat mendalam bergelar doktor selepas kehilangan bapanya kerana COVID-19.
"Kejadian itu bukan sahaja menonjolkan ketenangan dan keprihatinannya sebagai graduan perubatan, tetapi turut mencerminkan nilai murni serta komitmen seorang doktor muda yang bertekad memberi perubahan dalam hidup orang lain," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |