Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Omar Ahmad
Title :UTM beri komitmen bantu siasatan kes bunuh pelatih PALAPES, tak lindungi pihak terbabit kes itu
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :03 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedia memberi kerjasama penuh susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574). UTM dalam kenyataan berkata, pihaknya memberikan komitmen tidak berbelah bahagi untuk membantu siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kes itu. Katanya, UTM tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam kematian pelatih berkenaan. "UTM sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan. "UTM juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memohon semua pihak termasuk warga universiti dan orang awam, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berlangsung," katanya di sini hari ini. Semalam, AGC mengarahkan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574). Keputusan itu dibuat AGC berpandukan laporan siasatan dibuka PDRM ke atas kematian Allahyarham Syamsul Haris. Menurut rekod, Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035