|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, hari ini, dilantik Profesor Adjung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), berkuat kuasa 21 Oktober lalu.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan, berkata majlis penyerahan surat lantikan yang berlangsung di Ruang Perkasa, Wisma, di sini, disempurnakan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani dan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) itu, Tan Sri Dr Nik Norzul Thani Nik Hassan Thani.
"Pelantikan ini berasaskan rekod kepimpinan strategik dan pengalaman luas beliau dalam mengurus keseluruhan ekosistem pertahanan negara.
"Keupayaan Mohd Nizam merangka hala tuju ATM secara menyeluruh, termasuk aspek modernisasi aset, diplomasi pertahanan dan tadbir urus sumber manusia yang progresif, menjadi faktor utama pihak universiti menetapkan pemilihan berprestij ini," kata kenyataan itu, hari ini.
Katanya, dengan pelantikan sebagai Profesor Adjung, ATM berpeluang memperkukuh jaringan kolaborasi akademik melalui perkongsian ilmu, penyelidikan bersama dan pembangunan modul kepimpinan ketenteraan di institusi pendidikan tinggi.
"ATM merakamkan penghargaan kepada USIM atas pengiktirafan ini. Pelantikan itu diyakini memberi impak positif kepada budaya ilmu dalam organisasi ketenteraan.
"Selain itu, menyokong usaha berterusan memperkasa kepimpinan profesional, berwibawa dan berorientasikan masa depan," katanya.
Katanya, ATM akan terus komited menjadikan kerjasama akademik sebagai elemen penting dalam pembinaan kepimpinan pertahanan negara yang kompeten dan berdaya tahan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |