Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Mohd Roji Kawi
Title :UNIMAS, SFC temui semula kelawar unik di Borneo
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :08 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SELEPAS lebih 150 tahun berlalu sejak ia pertama kali direkodkan, misteri kewujudan kelawar Northern Free tailed (Mops johorensis) akhirnya terungkai di kepulauan Borneo. Spesies itu disahkan sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC), menjadikan penemuan ini antara yang paling signifikan dalam kajian fauna di rantau ini. Spesies berkenaaan pertama kali direkodkan di pulau ketiga terbesar dunia itu pada tahun 1873. Penemuan semula itu disifatkan sebagai kejayaan besar dalam bidang sains biodiversiti negara kerana sebelum ini spesies berkenaan hanya diketahui wujud di Semenanjung Malaysia, Sumatera dan Thailand. Susulan penemuan terbaharu itu, rangkaian habitat Mops johorensis kini terbukti jauh lebih luas daripada jangkaan asal. Ia sekali gus memperkukuh pemahaman saintifik terhadap kepelbagaian fauna di kepulauan Borneo. UNIMAS dan SFC dalam kenyataan bersama berkata, penemuan itu dicapai hasil kajian lapangan menyeluruh yang membabitkan pelbagai institusi penyelidikan tempatan. Selain UNIMAS, kajian itu turut dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).   Spesimen kelawar berkenaan direkodkan di tiga lokasi berbeza iaitu Imbak Canyon (Sabah), Lubok Antu dan Gunung Penrissen (Sarawak), menjadikannya pengesahan saintifik pertama kewujudan Mops johorensis di Borneo. Hasil kajian itu bukan sahaja memperluas kawasan taburan spesies itu secara signifikan malah menandakan satu pencapaian besar dalam memahami kepelbagaian fauna kelawar di Borneo. "Penemuan itu yang diterajui oleh penyelidik UNIMAS menjadi bukti kukuh kejayaan kerjasama rentas institusi dalam bidang sains biodiversiti. "Hasil penyelidikan seperti kajian morfologi, genetik dan akustik terhadap Mops johorensis amat bernilai kerana menyumbang secara signifikan kepada pengetahuan baharu serta memperkukuh data dan maklumat sedia ada yang penting bagi perancangan pemuliharaan," menurut kenyataan itu. Ketua Pasukan Penyelidikan merangkap Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS, Profesor Dr Faisal Ali Anwarali Khan pula berkata, kejayaan itu adalah bukti kerjasama kukuh antara institusi penyelidikan tempatan. "Projek ini menonjolkan kepentingan membuka peluang kepada penyelidik berdedikasi, khususnya saintis tempatan, dalam menerajui kajian biodiversiti yang kompleks," katanya. Beliau menjelaskan, kombinasi kajian morfologi, genetik dan akustik terhadap Mops johorensis memberi gambaran lebih menyeluruh tentang ciri biologi serta ekologi spesies itu. "Maklumat baharu itu amat bernilai kerana ia bukan sahaja memperluas data sedia ada, tetapi turut menjadi asas penting bagi perancangan pemuliharaan pada masa hadapan," katanya. Tambah Faisal Ali, hasil dapatan penyelidikan juga menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG) menjelang 2050 melalui peningkatan pengetahuan saintifik terhadap spesies terancam dan ekosistem hutan tropika. Dalam masa yang sama, SFC menegaskan bahawa semua penyelidikan dijalankan di bawah kawalan ketat dan permit khas yang dikeluarkan oleh kontroler perhutanan negeri. Menurut SFC, sistem permit itu memastikan semua aktiviti saintifik di kawasan perlindungan dilakukan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan warisan semula jadi Sarawak. SFC turut melahirkan kebimbangan terhadap sensitiviti habitat di sekitar tapak penemuan yang boleh terdedah kepada gangguan akibat peningkatan aktiviti manusia. "Sebagai penjaga kawasan perlindungan, kami bertanggungjawab memastikan penemuan ini tidak menjejaskan habitat atau mengancam populasi kelawar berkenaan," kata jurucakap SFC. Protokol ketat SFC menegaskan komitmen mereka untuk menyeimbangkan antara keperluan penyelidikan saintifik dengan tanggungjawab utama dalam pemuliharaan alam sekitar. "Kami kekal komited dalam mengimbangi keperluan penyelidikan dan keutamaan pemuliharaan serta memastikan semua akses dan pengumpulan data pada masa depan dilaksanakan mengikut protokol ketat. "Justeru, sebarang aktiviti pengumpulan data atau akses ke habitat Mops johorensis akan terus dikawal rapi mengikut protokol ketat bagi memastikan keselamatan spesies dan ekosistem berkaitan," katanya. UNIMAS dan SFC turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik bagi meneruskan penyelidikan biodiversiti jangka panjang di Borneo. Perkongsian itu adalah kunci kepada kemampanan dan kestabilan ekologi yang bakal diwariskan kepada generasi masa depan. Melalui kerjasama rentas institusi yang berterusan, UNIMAS dan SFC mampu menghasilkan dasar pengurusan berasaskan bukti yang lebih dinamik dan relevan. Penemuan Mops johorensis di Borneo bukan sahaja memperkayakan rekod saintifik Malaysia, malah meneguhkan kedudukan pulau itu sebagai salah satu titik panas biodiversiti paling penting di dunia.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035