Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :-
Title :UPSI lakar sejarah kedudukan ke-98 dunia dalam UI GreenMetric 2025
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :09 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah kali pertama tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia apabila berada pada kedudukan ke-98 dalam senarai global UI GreenMetric 2025. Naib Canselor upsi, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pencapaian itu mencerminkan pengiktirafan besar terhadap usaha berterusan UPSI dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, selain komitmen terhadap agenda kelestarian serta pembangunan mampan di kampus. Beliau berkata, kejayaan itu juga terjemahan daripada kesungguhan dan komitmen seluruh warga universiti tersohor itu dalam menjayakan inisiatif kelestarian yang digariskan melalui pelan strategik universiti. Kedudukan ke-98 dunia bukan sekadar kejayaan angka, tetapi simbol keutuhan misi universiti dalam membangunkan kampus yang hijau, inklusif dan mampan. "Ia adalah hasil kerja keras semua fakulti, pentadbiran, mahasiswa serta rakan kolaborasi strategik yang sentiasa bersama menyokong usaha ini," katanya. Beliau yakin pencapaian itu memperlihatkan kesediaan UPSI untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang proaktif dalam mendepani isu perubahan iklim dan kelestarian. Tambah Md Amin, UPSI sentiasa membuka ruang kerjasama dengan industri, agensi kerajaan dan komuniti bagi memperluaskan impak program kelestarian. "Pendekatan holistik yang melibatkan pelbagai pihak ini penting kerana agenda kelestarian bukan tanggungjawab universiti semata-mata. "Kita komited memastikan penyelidikan, inovasi dan pendidikan yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan negara," katanya. Beliau berkata, peningkatan berkenaan adalah hasil penambahbaikan berterusan UPSI pada enam indikator utama penilaian UI GreenMetric, iaitu Infrastruktur Kampus, Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Sisa, Pengurusan Air, Pengangkutan Kampus serta Pendidikan dan Penyelidikan Kelestarian. Jelasnya, melalui pelaksanaan Pelan Strategik UPSI 2021–2025, universiti itu berjaya meningkatkan skor keseluruhan dengan ketara berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menepati matlamat untuk menjadikan UPSI sebagai model amalan terbaik kelestarian dalam kalangan institusi pendidikan tinggi negara. Md Amin berkata, UPSI komited meneruskan agenda pembangunan rendah karbon dengan memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui, memperkukuh pengumpulan data alam sekitar, menerapkan teknologi kampus pintar dan meningkatkan program pendidikan serta penyelidikan berimpak tinggi. "UPSI berada di lokasi strategi di sisi Banjaran Titiwangsa yang cantik dan dilatari awan berarak rendah, sekali gus menghamparkan panorama menarik," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035