Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Adibah Hani
Title :I-Bhd, UiTM padu tenaga lahirkan bakat dalam bidang AI dan robotik
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :09 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SHAH ALAM: I-Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam kecerdasan buatan (AI) dan robotik. Inisiatif itu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat masa depan, penyelidikan dan inovasi AI, serta pembelajaran berasaskan pengalaman dalam ekosistem teknologi i-City. Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, berkata kerjasama itu akan merapatkan jurang antara teori dan amalan dengan memberikan akses langsung kepada teknologi dan sistem AI dalam persekitaran bandar pintar sebenar kepada pelajar UiTM . "Kerjasama ini memperkukuh langkah strategik I-Bhd untuk beralih daripada pemaju hartanah tradisional kepada pengendali ekosistem pintar pertama di Malaysia," katanya pada majlis memeterai kerjasama strategik antara I-Bhd dan UiTM di sini, hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, Pusat Pengalaman Dunia AI yang akan dilancarkan di i-City merangkumi pameran robotik humanoid terbesar di Malaysia serta pusat pendidikan AI yang terletak di tengah-tengah perbandaran itu. Menurutnya, sebanyak 70 hingga 100 robot akan dioperasikan dalam hab itu bagi menyokong fungsi pameran, latihan dan demonstrasi teknologi, sekali gus mewujudkan ruang pembelajaran dan penyelidikan yang lebih komprehensif. Kim Hong berkata, kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) berstruktur bersama UiTM akan diterapkan di Pusat Pengalaman Dunia AI dan infrastruktur i-City, meliputi robotik humanoid, mobiliti AI, integrasi sistem pintar serta aplikasi kesejahteraan berkuasa AI. "Hasil inovasi yang terhasil akan diterapkan secara progresif dan dikomersialkan melalui model Robotik-sebagai-Perkhidmatan (RaaS), penyelenggaraan ramalan dan i-City SuperApp, menjadikan i-City makmal hidup pertama di negara ini untuk pengujian dan pengewangan AI bandar dunia sebenar," katanya. Beliau menambah, dengan Menara AI dan AI Wellness Suites sebagai teras integrasi RaaS, i-City diposisikan sebagai pusat aplikasi AI sebenar. Katanya, penyertaan UiTM dalam ekosistem ini turut meningkatkan keupayaan universiti melahirkan graduan berorientasikan industri serta menyokong sasaran negara meningkatkan sumbangan AI kepada Keluara Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan mencecah RM30 bilion setahun menjelang 2030. "Kerjasama ini turut membuka enjin dwipertumbuhan bagi inovasi dan pengewangan, gabungan kekuatan penyelidikan UiTM dan prasarana Pusat Pengalaman Dunia AI serta Menara AI i-City bagi mencipta laluan kerjaya baharu untuk pelajar," katanya. Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata pelajar akan mendapat pendedahan unik kepada teknologi yang membentuk bandar masa hadapan melalui latihan praktikal dalam model bandar berpacu AI yang sudah beroperasi. Beliau berkata, kerjasama itu turut menyokong hasrat negara mencapai ekonomi berpacu AI menjelang 2030 seperti digariskan Pejabat AI Kebangsaan dan selaras dengan Pelan Tindakan AI Kerajaan 2026–2030. Pusat Pengalaman Dunia AI dijadual dibuka pada Disember 2025, menandakan era baharu ekosistem digital Malaysia di mana pendidikan, industri dan infrastruktur bergabung untuk memacu penciptaan nilai dan bakat bagi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035