Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Saadiah Ismail
Title :UUM bantu perkasa literasi media digital murid sekolah luar bandar
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :09 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JITRA: Program Teknologi Media, Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada murid sekolah luar bandar dalam usaha memperkasa literasi media digital. Ketua Penyelidik, Dr Aida Filzah Ramli, berkata pemerkasaan literasi media digital yang dilaksanakan di sekolah luar bandar disifatkan sebagai satu inisiatif pemindahan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada komuniti setempat. Katanya, peserta adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di mana mereka diberi pendedahan dunia penyiaran digital untuk meningkatkan keyakinan menghasilkan kandungan untuk TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) secara lebih profesional. "Modul program menggabungkan konsep komunikasi media dan penghasilan kandungan untuk TVPSS bagi mendidik peserta menghasilkan bahan kreatif yang boleh dimanfaatkan untuk pembelajaran serta pengajaran di sekolah. "Murid didedahkan dengan asas komunikasi media seperti teknik bercakap di hadapan kamera, mengawal intonasi suara dan mengawal bahasa tubuh bagi memastikan penyampaian kandungan lebih berkesan kepada penonton. "Mereka juga diajar menghasilkan visual dan audio untuk mencipta naratif tersusun dalam penghasilan kandungan TVPSS," katanya. Program dilaksanakan itu adalah Pembangunan Model Kandungan Televisyen Pusat Sumber Sekolah di Sekolah Luar Bandar: Pendekatan Berasaskan Model Penerimaan Teknologi 3 (TAM 3) yang dibiayai oleh Geran Penjanaan Penyelidikan 2025: Program Penyelidikan Penyelidik Muda di bawah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UUM. Aida Filzah berkata, pihaknya juga melakukan sesi latihan amali merangkumi penggunaan kamera digital, peralatan penyiaran asas, teknik rakaman dan pencahayaan untuk memberikan pengalaman dunia sebenar dunia penyiaran kepada peserta. "Program seterusnya membabitkan latihan lanjutan untuk penghasilan kandungan TVPSS iaitu penggambaran sebenar, latihan penyuntingan visual dan teknik penyampaian kandungan digital. "Menerusi latihan ini, murid bukan saja mempelajari kemahiran komunikasi, malah turut mengasah daya fikir kreatif dan kemampuan bekerja dalam pasukan," katanya. Sementara itu, murid, Muhammad Raaid Safuwan Mohammad Raizat, berkata ia adalah satu pengalaman yang mengujakan kerana berpeluang menggunakan peralatan penyiaran sebenar. "Saya rasa lebih yakin selepas mengikuti program ini kerana membabitkan penggunaan peralatan sebenar dan memahami strategi penghasilan kandungan terutama berkaitan pendidikan selain meningkatkan minat saya kepada bidang," katanya. Bagi Muhammad Afiq Rosli, kursus itu mendedahkannya kepada keberkesanan kandungan TVPSS untuk membantu murid-murid memahami subjek. "Saya bertuah diberi peluang menimba pengalaman berkaitan dunia penyiaran digital. Saya dapati, kandungan TVPSS dapat membantu murid mengikuti pembelajaran mengikut masa sendiri dengan adanya kandungan pendidikan yang boleh diakses bila-bila masa," katanya. Sementara itu, guru SK Malau, Nasriah Hafiz Amanullah, berkata pendedahan awal menerusi program celik media digital ini dapat membentuk keyakinan diri murid-murid. "Murid-murid luar bandar mempunyai potensi dan berbakat untuk mendalami dunia penyiaran serta penghasilan kandungan bermanfaat untuk pendidikan mereka. "Sokongan pelbagai pihak yang diselaraskan oleh pihak UUM membolehkan satu modul lengkap dapat disampaikan kepada peserta. "Malah TVPSS juga perlu sentiasa ditingkatkan kerana ia adalah satu platform untuk pihak sekolah menyampaikan bukan saja kandungan pendidikan tetapi berita berkaitan pencapaian sekolah," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035