|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menegaskan keputusan tidak membenarkan penggunaan Dewan Mu'adzam Shah bagi penganjuran Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) dibuat atas faktor keselamatan dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perbezaan fahaman politik seperti didakwa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata keputusan tidak membenarkan penggunaan dewan berkenaan bagi sebarang penganjuran program berskala besar dibuat lebih awal iaitu pada 1 Disember 2025.
Ini kerana katanya, pemeriksaan keselamatan mendapati berlaku kerosakan pada struktur bumbung akibat hujan lebat yang melanda kawasan kampus sebelum tarikh majlis.
"Perubahan lokasi majlis itu bukan dibuat dua hari sebelum program berlangsung pada Khamis lalu seperti didakwa, sebaliknya keputusan berkenaan telah dimuktamadkan lebih awal.
"Dewan Mu'adzam Shah turut terlibat dalam pelaksanaan projek menaik taraf dan kerja-kerja membaik pulih termasuk penggantian bumbung dan pembaikan infrastruktur yang telah dimaklumkan kepada semua warga kampus melalui notis edaran pada 7 Mac lalu," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Martadha berkata projek menaik taraf berkenaan dijadualkan bermula 14 Mei 2025 hingga 14 November 2027 dan kerja-kerja itu hanya ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada Majlis Konvokesyen UUM pada November lalu.
Katanya, sebagai sebuah institusi awam, aspek keselamatan dan kebajikan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi.
"Keselamatan dan keselesaan keluarga besar SADA yang hadir ke majlis berkenaan menjadi pertimbangan utama pihak universiti dan atas faktor itu, penggunaan Dewan Mu'adzam Shah tidak dapat dipertimbangkan bagi mengelakkan sebarang risiko," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata UUM tetap memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran majlis graduasi SADA walaupun berlaku pertukaran lokasi, termasuk menyediakan pinjaman jubah, sebahagian kerusi serta kemudahan lain bagi memastikan kelancaran majlis.
Katanya, UUM turut menghargai hubungan baik yang terjalin dengan SADA dan menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dalam penganjuran program melibatkan masyarakat serta rakan strategik pada masa hadapan.
Semalam media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kesal dengan pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang didakwa membatalkan penggunaan dewan bagi Majlis Graduasi SADA pada saat akhir.
Katanya, pihak berkenaan memberi alasan pembatalan itu dibuat disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian Dewan Mu'adzam Shah, namun beliau percaya ia berpunca daripada perbezaan fahaman politik.
"Sejak 2008 sampai 2025, ada beberapa peristiwa dengan UUM. Daripada isu tanah, air dan kali ini isu graduasi. Puncanya bukan apa, sebab saya parti lain sahaja.
"Saya tahulah UUM itu Universiti UMNO Malaysia. Kalau saya sebut, malu pada orang tetapi tak boleh hingga ke tahap itu," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi SADA 2025 di sebuah dewan di Titi Gajah, di sini kelmarin (Khamis).
Beliau yang merupakan Pengerusi SADA berkata demikian selepas UUM didakwa membatalkan penggunaan dewan itu dua hari sebelum acara berlangsung.
Majlis itu diadakan bagi meraikan 315 warga SADA yang menamatkan program pengajian merangkumi Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Eksekutif Tahap 1 dan Tahap 2 serta Program Kepimpinan Strategik melalui kerjasama Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE). |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |