|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| ALOR SETAR: Walaupun kampung halamannya di Sudan dilanda perang, rasa sedih dan bimbang terutama dengan nasib keluarga di negara asal tidak menghalang tekad Monir Mohammed Hamid Abdal Rahman, 26, untuk menggenggam ijazah.
Monir yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia antara 259 graduan dari lebih 31 negara yang diraikan sempena Majlis Konvokesyen Keenam Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di sini, hari ini.
Lebih manis, Monir turut dinobat sebagai penerima Anugerah Canselor dan Anugerah Naib Canselor pada istiadat konvokesyen itu.
"Saya bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian dan selepas ini bercadang untuk menyambung ke peringkat Sarjana di Malaysia kerana tidak dapat pulang ke Sudan disebabkan peperangan yang masih berlaku.
"Sata bercadang menyambung pengajian di Universiti Malaya atau Universiti Sains Malaysia dalam pengajian Sarjana Pentadbiran Awam selepas ini," katanya.
Tambah Monir, walaupun sedih memikirkan nasib keluarga di Sudan, dia tekad untuk meneruskan pengajian sehingga akhirnya berjaya.
"Ibu bapa saya bekerja sebagai guru dan tidak dapat hadir meraikan konvokesyen hari ini. Sejak peperangan melanda di Sudan, mereka tidak bekerja dan hanya duduk di rumah kerana semua sekolah dan universiti dikawal tentera.
"Saya hanya berkomunikasi dengan ibu dan ayah sebulan sekali melalui kiriman mesej di telefon bimbit kerana sejak tiga tahun lalu, kawasan rumah saya mengalami gangguan internet.
"Saya pernah terputus hubungan bersama mereka selama enam bulan hingga tidak tahu mereka masih hidup atau tidak... tetapi sekarang rangkaian internet sudah pulih dan dapat berhubung," katanya yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik.
Sementara itu, Naib Canselor dan Presiden AIU, Datuk Dr Mohd Saleh Jaafar, berkata konvokesyen tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila AIU meraikan graduan sulung bagi program Sarjana Pendidikan (Penyelidikan), Sarjana Muda Politik dan Hubungan Antarabangsa dan Sarjana Muda Kewangan (Kewangan Islam) yang sudag menerima status akreditasi penuh.
"Seramai 142 graduan Pusat Pengajian Pengajian Perniagaan dan Sains Sosial, 63 graduan Pusat Pengajian Pendidikan dan Sains Kemanusiaan dan 54 graduan Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Informatik menerima ijazah masing-masing.
"Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Canselor, Anugerah Sharifah Rokiah serta Anugerah Naib Canselor kepada graduan terpilih di peringkat Sarjana Muda hasil kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum dan khidmat komuniti sepanjang pengajian di AlU, " katanya.
Pengisytiharan Majlis Konvokesyen Keenam AIU disempurnakan Pro Canselornya, Sonny Bill Williams, dengan turut dihadiri Sharifah Sofia Syed Mokhtar Shah selaku Pemegang Amanah Yayasan Albukhary dan Syed Mohamad Albukhary selaku Pengerusi Lembaga Pengelola AIU.
Menurut Dr Saleh, kebanyakan pelajar AIU datang dari lebih 60 negara dan setiap penuntut yang belajar di universiti itu akan diberi biasiswa penuh dengan yuran pengajian dan tempat tinggal serta elaun bulanan.
Katanya, untuk tahun sebelum ini lebih 95 peratus pelajar bergraduan mengikut definisi Kementerian Pendidikan Tinggi termasuklah pelajar yang diterima masuk untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan doktor falsafah (PhD).
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |