|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Shah Alam: Majlis Konvokesyen ke-36 Management and Science University (MSU) baru-baru ini, turut menyaksikan kejayaan akademik Tengku Puteri Nur'Ain Antasya Thuraya (Tengku Ain), puteri kepada Kerabat Diraja Selangor, Tengku Datuk Dr Hishamuddin Zaizi dan Che Puan Datin Hazieta Mohd Hafidz.
Dalam kalangan 2,453 graduan daripada 128 program, kisah Tengku Ain, cicit kepada Yang di-Pertuan Agong kedua, menonjol kerana gabungan prestasi akademik cemerlang, bakat seni, kreativiti digital, dan disiplin yang diwarisi daripada keluarga Diraja Selangor dan Kelantan.
Bapanya, Tengku Hishamuddin adalah sepupu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, manakala daripada sebelah nenda pula, mengalir darah ilmiah mewarisi ketokohan Mohd Hafidz Hussein, bekas pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia.
Bahagiakan ibu bapa
Tengku Ain menamatkan pengajian dengan CGPA 3.73, menerima Anugerah Dekan lima semester berturut-turut, serta dianugerahkan Industrial Award dari MSU. Menuntut dalam bidang 'Games Design and Animation', dengan tumpuan kepada rekaan grafik, ilustrasi dan rekaan konsep, graduasi ini menandakan pencapaian akademik dan perkembangan profesional beliau dalam bidang kreatif digital.
Tengku Ain ketika ditemui berkata, kejayaan terbesar adalah dapat membahagiakan kedua ibu bapanya.
"Pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi sebahagian daripada nilai keluarga," katanya.
Tengku Ain turut mengumpul pengalaman profesional termasuk menjadi UI/UX dan Graphic Designer Intern di ProppyApps Sdn Bhd dari Mac hingga Ogos 2025, menyaksikan pembabitannya dalam pembangunan konsep visual, guideline reka bentuk, dan penghasilan bahan kreatif untuk kegunaan komersial.
Selain itu, Tengku Ain aktif sebagai illustrator anime secara bebas dan dijangka menyertai acara kreatif di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 20–21 Disember ini.
Sementara itu Tengku Hishamuddin ketika ditemui berkata, pendidikan anak-anak menjadi keutamaan dalam keluarga.
"Pendekatan kami adalah menekankan komunikasi terbuka, keputusan dibuat bersama, dan setiap langkah difahami serta dipersetujui ibu bapa dan anak," katanya.
Kisah Tengku Ain menunjukkan bahawa kecemerlangan bukan sekadar hasil tuah, tetapi melalui disiplin diri, sokongan keluarga, dan minat mendalam terhadap bidang yang diceburi.
Dalam konteks Malaysia yang sedang memacu transformasi industri kreatif menerusi MyDigital, Dana Kandungan Digital (DKD) dan agenda RMK-13, bakat seperti beliau menjadi aset penting dalam membina ekonomi kreatif berdaya saing di peringkat antarabangsa. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |