Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Mohd Rafi Mamat
Title :Pahang tegas banteras pihak lakukan pencemaran, jejas alam sekitar
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :03 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak melakukan pencemaran dan usaha menyekat aktiviti yang menjejaskan alam sekitar akan terus dilakukan agensi penguat kuasa pada semua peringkat. Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri tidak berkompromi dengan pihak menyebabkan kemusnahan alam sekitar termasuk mereka yang membuang sampah sisa pertanian yang menyebabkan pencemaran sumber air, selain menjejaskan hutan simpan kekal jika dilakukan tanpa pengawalan berterusan. Susulan itu, beliau berkata, tindakan dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menerusi Ops Cuci bagi memastikan alam sekitar dan kebersihan pusat pelancongan Cameron Highlands terus terpelihara wajar dicontohi. "Saya berharap pemantauan secara berterusan dapat dibuat pihak JPNP terutama Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands bagi memastikan tiada lagi insiden pencemaran dan pelupusan sisa pertanian secara haram dibuat dalam hutan simpan kekal di daerah berkenaan. "Tindakan tegas perlu terus diambil terhadap pihak terbabit dengan aktiviti yang menyebabkan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar kerana perbuatan mereka menimbulkan masalah kepada banyak pihak," katanya, di sini hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Ops Cuci yang dianjurkan PHD Cameron Highlands membabitkan tapak pelupusan sisa pertanian dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Bertam, Hutan Simpan Sungai Terla, Hutan Simpan Mensun dan Hutan Simpan Sungai Ichat. Operasi lima hari bermula semalam terpaksa menggunakan jengkaut dan lori disertai Unit Penguatkuasaan JPNP (Zon Pahang Barat), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Majlis Daerah Cameron Highlands dan SWCorp. Wan Rosdy berkata, pihaknya berharap JPNP dan UPNP menjalankan tindakan tegas penguatkuasaan terhadap pesalah alam sekitar bagi memastikan golongan terbabit tidak terus membuang pelbagai jenis sampah termasuk sisa pertanian. Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin, berkata pada hari pertama Ops Cuci semalam, lebih lima tan pelbagai jenis sampah dan sisa pertanian dipindahkan ke pusat pelupusan sampah. "Cuaca panas melancarkan lagi aktiviti memindahkan sampah dalam Hutan Simpan Kekal Terla menggunakan jengkaut dan lori, namun kesukaran sedikit dihadapi untuk mengumpul sampah di kawasan cerun bukit yang curam," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035