|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| DALAM era pembangunan lestari hari ini, pemahaman mendalam tentang pelbagai bentuk sumber air begitu penting.
Sumber air yang mampan memainkan peranan utama bukan sahaja dalam pemuliharaan alam sekitar tetapi juga mengekalkan kesihatan manusia.
Akses kepada air bersih dan selamat adalah hak asasi manusia dan penting untuk kesejahteraan kita.
Justeru, pengurusan air yang mampan penting untuk memastikan ketersediaan air bersih bagi generasi akan datang, melindungi alam sekitar dan menyokong pembangunan ekonomi dan sosial.
Itu perjuangan dan usaha tanpa lelah yang dilakukan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang sejak lebih dua dekad lalu.
Diketuai pengarahnya, Dr. Ir. Chang Chun Kiat, REDAC baru-baru ini meraih kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila menerima tiga pengiktirafan berprestij dalam bidang sains air.
Ia bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Program Hidrologi Antara Kerajaan (IHP) dan ulang tahun ke-60 Sains Air Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) yang berlangsung pada 11 hingga 13 Jun lalu di ibu pejabat UNESCO, Paris, Perancis.
Acara berprestij itu yang menghimpunkan para pemimpin dunia dalam bidang hidrologi dan kelestarian alam sekitar telah mengetengahkan sumbangan cemerlang USM dalam pengurusan air secara mampan yang dijalankan REDAC.
Lanjutan daripada pengiktirafan global ini, USM turut menerima Anugerah Penyelidikan Ekohidrologi sempena sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Pahang, Julai lalu.
Mengulas lanjut mengenai tiga pengiktirafan diterima, Chun Kiat menyatakan, pertama, USM telah menerima pengiktirafan atas sumbangannya selaku Kursi UNESCO dalam Pengurusan Air Lestari bagi SDG 6 (2024-2028).
“Menerusinya, USM telah dianugerahkan plak peringatan sebagai penghargaan di atas peranannya yang signifikan selaku Kursi UNESCO dalam bidang Ecohydraulics for Sustainable Water Infrastructures bagi SDG 6 di Asia dan Rantau Pasifik.
“Kursi UNESCO dalam bidang ini ditubuhkan pada tahun 2020 di bawah Program UNITWIN/UNESCO Chairs, berperanan sebagai hab serantau dalam mempromosikan penyelesaian mampan berasaskan air selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6: Air Bersih dan Sanitasi,” katanya kepada K-Kampus.
Kursi UNESCO ini mengintegrasikan penyelidikan ekohidraulik dengan pendekatan penyelesaian berasaskan sains untuk menangani cabaran global berkaitan air.
Seterusnya kedua, USM turut mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO iaitu di Kampus Kejuruteraan USM.
Jelasnya, tapak demonstrasi Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) di Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal selain tapak inisiatif Pengurusan Lestari Air Hujan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus Parit Raja telah menerima sijil pengiktirafan daripada Penyelaras Global Program Ekohidrologi merangkap Ketua Seksyen Pembangunan Kapasiti dan Penyelarasan Keluarga Air di UNESCO, Dr. Rahmah Elfithri.
“Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal kini dengan rasminya telah diiktiraf sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO, susulan kejayaannya mengaplikasikan prinsip ekohidrologi dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi menerusi BIOECODS.
“Sistem inovatif ini merupakan projek perintis negara dalam menjadi model yang boleh diteladani dalam pengurusan air bandar di peringkat global.
“Di Malaysia, pendekatan pengurusan air larian hujan (stormwater) yang konvensional telah lama diamalkan secara meluas, dengan membenarkan pemaju membina parit, membesarkan dan meluruskan sungai dan parit untuk memenuhi keperluan akibat peningkatan aliran di kawasan tadahan,” katanya.
Kejayaan ketiga atau terakhir pula ialah Pengiktirafan Label UNESCO-IAHR untuk Latihan dan Pendidikan Air. IAHR adalah singkatan bagi International Association for Hydro-Environment Engineering and Research.
Menurutnya, dalam menyokong kecemerlangan akademik USM, dua program pengajian pascasiswazah di bawah REDAC telah menerima pengiktirafan Label UNESCO-IAHR.
Dua program tersebut merupakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sungai dan Saliran Bandar dan Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Pengurusan Sungai dan Saliran Bandar.
“Label UNESCO-IAHR ini memberikan jaminan bahawa program pengajian pascasiswazah yang ditawarkan adalah di peringkat antarabangsa dengan latihan dan pendidikan air bertaraf cemerlang.
“Pengiktirafan ini mengukuhkan kecemerlangan akademik Ijazah tinggi di USM serta komitmen universiti dalam melahirkan tenaga pakar profesional bagi menangani cabaran berkaitan air.
“Program-program ini merangkumi bidang penting seperti pengurusan sungai, saliran bandar, hidroinformatik dan hidraulik alam sekitar,” tuturnya.
Pengiktirafan itu pada masa sama mengukuhkan lagi pengaruh REDAC dan kerjasama eratnya dengan UNESCO dalam membentuk masa depan sains air, khususnya di rantau Asia Tenggara.
Diaju apakah kriteria kepada kesemua pengiktirafan global yang diterima, Chun Kiat memberitahu ada beberapa perkara yang diambil kira dan ia tidak semudah disangka.
Jelasnya, antara kriteria termasuklah projek penyelidikan berimpak tinggi dan praktikal, inovasi mesra alam dalam pengurusan air bandar dan kerjasama antarabangsa.
Pada masa sama, penerbitan dan penyelidikan berimpak tinggi, sumbangan langsung kepada masyarakat dan kerajaan serta peningkatan kesedaran dan pendidikan turut diambil kira.
Meskipun menerima pelbagai kejayaan dan pengiktirafan berprestij dalam serta luar negara, Chun Kiat tidak menafikan semuanya dilalui dengan pelbagai cabaran.
“Antara cabaran terbesar sering dihadapi pasukan REDAC dalam menjayakan sesuatu projek inovasi atau khidmat perundingan adalah bagaimana menyesuaikan reka bentuk BIOECODS dengan kondisi setempat, mengurus persepsi pelbagai pihak berkepentingan dan memastikan penyelenggaraan jangka panjang sistem lestari.
“Misalnya, dalam projek perintis BIOECODS di Kampus Kejuruteraan USM, REDAC berdepan tiga cabaran utama.
“Pertama dari segi reka bentuk tapak setempat yang mana BIOECODS perlu direka khas mengikut faktor hidrologi, jenis tanah dan topografi setempat.
“Persekitaran bandar yang padat juga menyukarkan penempatan komponen berskala besar seperti kolam takungan dan sistem saliran ekologi (alur berumput),” katanya.
Cabaran kedua yang diterima pula adalah dari segi persepsi dan penyelarasan pihak berkepentingan yang mana pelaksanaan sistem ini memerlukan kerjasama rapat antara pihak berkuasa tempatan, jurutera, perancang bandar dan kontraktor.
“Terdapat persepsi bahawa sistem BIOECODS lebih rumit dan mahal berbanding sistem saliran konvensional, sekali gus mewujudkan rintangan daripada pihak yang lebih selesa dengan pendekatan tradisional.
“Terakhir cabaran dari segi penyelenggaraan dan faktor persekitaran. Komponen biologi seperti cow grass untuk sistem saliran ekologi dan tumbuhan di kawasan tanah lembap sensitif terhadap spesies invasif dan perubahan iklim.
“Penyelenggaraan yang konsisten amat penting untuk memastikan sistem kekal berfungsi dan tidak merosot dari segi prestasi,” ujarnya.
Lebih membanggakan, meskipun berdepan pelbagai cabaran, kini hampir 20 projek BIOECODS telah dilaksanakan di seluruh Semenanjung Malaysia terutama melibatkan projek-projek pembangunan kerajaan.
Ditebak tahap kesedaran anak muda mengenai pengurusan sains air negara, Chun Kiat tidak menafikan secara umum ia berada pada paras rendah hingga sederhana.
Akuinya, kebanyakan hanya menyedari kepentingan air ketika krisis berlaku contohnya gangguan bekalan, banjir atau pencemaran sungai.
Sedangkan katanya, kefahaman yang lebih mendalam mengenai konsep kitaran hidrologi, pengurusan tadahan dan nilai air sebagai sumber ekonomi masih belum meluas.
“Topik berkaitan sains air ada disentuh dalam mata pelajaran Geografi dan Sains, tetapi sering tidak dihubungkan dengan isu tempatan seperti pencemaran sungai, hakisan tanah atau pengurusan empangan.
“Hanya di peringkat universiti, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains bumi atau alam sekitar sahaja pelajar didedahkan secara lebih serius.
“Program berbentuk komuniti seperti gotong-royong membersihkan sungai, kempen penuaian air hujan di sekolah atau aktiviti pendidikan alam sekitar bersama badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan boleh beri impak besar kepada anak muda.
“Aktiviti lapangan ini membantu mereka melihat secara langsung kesan pencemaran, pentingnya pengurusan sungai serta nilai air untuk kehidupan harian. Penyertaan komuniti juga menjadikan ilmu sains air lebih dekat, praktikal dan mudah difahami berbanding hanya melalui teori,” katanya.
Menutup perkongsian, Chun Kiat berhadap REDAC akan terus relevan serta dominan dalam bidang kejuruteraan sungai dan saliran bandar.
Terangnya, REDAC berhasrat menjadikan Malaysia pusat rujukan di Asia Tenggara dalam bidang pengurusan air yang mampan, selari dengan perubahan iklim yang semakin mendesak.
“Hasrat ini akan menjadikan kita bukan saja pengguna air tetapi juga penyumbang ilmu, inovasi dan teknologi dalam bidang pengurusan air di peringkat antarabangsa.
“REDAC mahu memastikan setiap projek pembangunan sama ada perumahan, perindustrian atau infrastruktur mengamalkan konsep saliran mesra alam Sustainable Urban Drainage System (SUDS).
“Ia penting supaya pembangunan tidak lagi menambah risiko banjir kilat, pencemaran sungai atau kerosakan ekosistem, sebaliknya menyumbang kepada kelestarian alam,” akhirinya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |