|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| JIKA sebelum ini Cameron Highlands, Pahang terkenal dengan ladang teh, strawberi, pasar malam dan udara sejuk yang nyaman, kini destinasi tanah tinggi ini tampil dengan satu lagi tarikan baharu iaitu Night Bike Ride LED yang terletak di Taman Pertabalan Tanah Rata.
Aktiviti malam ini memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung apabila laluan taman yang juga digelar ‘i-City Cameron Highlands’ itu boleh bersiar-siar menaiki skuter elektrik dan kereta hias berlampu hingga lewat malam.
Gabungan cahaya neon dengan suasana dingin malam di tanah tinggi mencetuskan suasana magis seakan festival cahaya, menjadikannya pilihan baharu bagi mereka yang ingin menikmati percutian di Cameron Highlands dengan cara lebih menyeronokkan.
Terletak di tengah Tanah Rata, taman itu menyajikan pemandangan hijau yang tenang, sesuai buat mereka yang mahu bersantai sambil menghirup udara segar serta merakam gambar indah bersama. Masuk pula adalah percuma.
Menurut pengusaha Night Bike Ride LED Taman Pertabalan Tanah Rata, Tarmizi Bustamam, tarikan tersebut adalah sesuatu yang baharu diperkenalkan di taman itu, sebagai menambah aktiviti di Cameron Highlands pada sebelah malam.
“Pengunjung yang bercuti ke sini sering kali berkata tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat pada sebelah malam.
“Rata-ratanya akan menghabiskan waktu malam mereka dengan menikmati makan malam seperti steamboat bersama keluarga dan rakan-rakan atau mengunjungi pasar malam.
“Selepas daripada itu, mereka akan terus pulang semula ke hotel masing-masing memandangkan tidak banyak tempat yang masih dibuka atau aktiviti yang boleh dicuba.
“Oleh sebab itu, saya terfikir untuk menambah tarikan sebegini yang beroperasi setiap hari bermula pukul 8.30 malam sehingga 12 tengah malam,” katanya kepada CitaRasa.
Pengunjung boleh memilih sama ada untuk menaiki skuter elektrik pada harga RM25 untuk 20 minit (sesuai untuk dua orang dewasa) atau kereta hiasan berlampu pada harga RM35 untuk 20 minit (sesuai untuk tiga hingga empat orang dewasa).
Ujar Tarmizi, dia juga ada menyediakan skuter beam bagi mereka yang mungkin mahu bersiar-siar secara solo.
Biarpun baru diwujudkan, tarikan tersebut sudah pun mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan yang datang ke kawasan percutian itu.
“Sambutan terhadap aktiviti ini adalah amat baik. Mereka yang berminat disarankan membuat tempahan terlebih dahulu, supaya pihak kami boleh menyediakan unit kenderaan yang sesuai untuk dicuba mereka.
“Tarikan ini juga ada setiap hari, kecuali jika hari hujan atau cuaca tidak baik. Hal ini kerana peralatan yang disediakan bukan jenis kalis air,” katanya.
Bagi seorang pengunjung yang memperkenalkan diri sebagai Nur Aina, 29, dia yang mencuba aktiviti itu bersama suami dan anaknya baru-baru ini menyifatkan ia sebagai satu tarikan yang menyeronokkan.
“Biasanya kalau datang Cameron Highlands, aktiviti malam hanya pergi makan steamboat atau jalan di pasar malam.
“Tapi kali ini kami sekeluarga cuba kayuhan LED ini, memang lain daripada biasa. Anak pun seronok tengok kereta hiasan berlampu,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |