|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Masa depan komunikasi global menjadi fokus utama dalam Persidangan Antarabangsa Media dan Sains Sosial keempat (iCOMS 2025) anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Persidangan tersebut mempertemukan pemain industri dan ahli akademik dari seluruh dunia bagi membincangkan trend serta teknologi terkini komunikasi.
Persidangan secara maya itu mengangkat tema Shaping the Future of Global Communication: Trends, Technologies and Transformation.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin ketika merasmikan iCOMS 2025 menegaskan peranan UiTM sebagai peneraju dalam mendorong penyelidikan media dan transformasi komunikasi di peringkat nasional serta serantau.
“Seiring dengan evolusi landskap komunikasi dan media, FKPM, UiTM atau lebih dikenali sebagai MassComm sentiasa pantas menyesuaikan diri dengan integrasi strategik terhadap trend serta teknologi baharu.
“Daripada analitik media sosial dan penciptaan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) kepada penceritaan merentas platform serta penglibatan khalayak secara langsung, inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap bidang komunikasi pada masa depan.
“Program pengajian juga terus diperkemaskan bagi memenuhi tuntutan ekonomi pencipta kandungan, kewartawanan berasaskan data serta etika digital.
“Ini bagi memastikan graduan kami bersedia untuk mengemudi dan mempengaruhi ekosistem media yang sentiasa berubah,” katanya dalam ucapan perasmian.
Sementara itu, Dekan FKPM, Profesor Madya Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman menekankan kepentingan untuk menghubungkan akademik dengan industri.
“Penyelidikan kami mungkin bermula di bilik kuliah atau makmal. Namun nilainya terbukti apabila digunakan dalam industri untuk membentuk strategi dan dasar.
“Persidangan ini menjadi jambatan penting antara ahli akademik dan pemain industri.
“Sinergi ini amat penting bagi mencetuskan inovasi dan memastikan kurikulum kami kekal relevan untuk melahirkan generasi baharu pemimpin dalam bidang komunikasi,” ujarnya.
Sehari sebelum persidangan iCOMS 2025, prapersidangan yang mengetengahkan forum bertajuk, Shaping the Future of Global Communication: Trends, Technologies and Transformation telah diadakan.
Forum berkenaan menampilkan tiga panelis terkemuka iaitu Ketua Pengarang New Straits Times, Farrah Naz Karim; Pengarah Urusan World Communications Sdn. Bhd., Jaffri Amin Osman serta Ketua Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Taylor’s University, Dr. Prema Ponnudurai.
Prapersidangan turut merangkumi bengkel praktikal bertajuk Systematic Literature Review (SLR): Strengthenin Research Through Data-Driven Storytelling yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah meningkatkan metodologi penyelidikan serta penerapan penceritaan berasaskan data dalam bidang komunikasi.
Memasuki edisi keempat, iCOMS kekal dengan misi sebagai platform yang menghubungkan ahli akademik, profesional dan pelajar dari seluruh dunia dalam bidang komunikasi, sains sosial, media dan teknologi.
Sepanjang tiga hari penganjuran persidangan tersebut, para peserta terlibat dalam sesi ucaptama, forum, bengkel dan jaringan profesional dengan lebih 100 kertas kerja telah dibentangkan.
Beberapa kertas terpilih akan dipertimbangkan untuk diterbitkan dalam jurnal reputasi berindeks seperti Scopus, MyCite dan MyJurnal.
Usaha tersebut sekali gus dapat menyediakan landasan penting kepada penyelidik untuk memperkembangkan hasil kerja mereka.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |