|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| “BELAJARLAH rajin-rajin kalau tak mahu jadi macam ibu.”
Kata-kata ringkas tetapi penuh makna itu lahir dari hati seorang ibu tunggal, Rohani Lamwan, yang hidup serba kekurangan, namun sarat dengan kasih dan harapan.
Ayat itulah yang menjadi azimat buat anaknya, Roziana a/p Tan Beng Hai, seorang anak Orang Asli dari suku kaum Jakun dalam mengubah masa depan diri dan keluarga.
Berbekalkan semangat itu, Roziana tekad menimba ilmu tanpa mengenal erti penat lelah walaupun menghadapi pelbagai kekurangan dan rintangan sebagai anak Orang Asli penoreh getah.
Hasilnya, Roziana kini bergelar pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan pencapaian membanggakan iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Pahang itu mengikuti aliran Sains Sosial dalam pengajian STPM dengan mengambil empat subjek utama iaitu Ekonomi, Sejarah, Pengajian Am dan Bahasa Melayu.
Roziana, 20, percaya bahawa pendidikan ialah satu-satunya jalan untuk mengubah nasib keluarganya yang tinggal di Kampung Mentelong, Kuala Rompin.
“Tidak ramai penduduk Orang Asli di kampung saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi kerana rata-rata kami orang susah. Oleh itu, saya mahu jadi orang yang hebat dan boleh dijadikan contoh oleh generasi muda di kampung saya,” katanya kepada K-Remaja.
Roziana diangkat sebagai Pelajar Terbaik Orang Asli 2024 pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM di Majlis Peperiksaan Malaysia, Selayang, Selangor, Jun lalu. Roziana bersama 148 pelajar Orang Asli juga diraikan dalam Majlis Anugerah Murid Cemerlang SPM dan STPM 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kuantan, baru-baru ini.
Sebagai seorang anak Orang Asli, Roziana melihat kejayaan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi sebagai cara untuk membuktikan bahawa latar belakang bukan halangan untuk melangkah jauh.
“Latar belakang saya sebagai anak suku kaum Jakun adalah satu keistimewaan yang membentuk jati diri dan semangat saya.
“Bagi saya, kejayaan bermaksud keluar dari zon selesa, menimba ilmu dan kembali menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga dan masyaraka,” ungkapnya.
Kongsi Roziana, cabaran terbesar yang pernah dilaluinya sepanjang perjuangan menuntut ilmu ialah ketika dirinya di bangku sekolah rendah sekitar 2010 hingga 2015.
Disebabkan kedudukan kampungnya yang terpencil, dia terpaksa menaiki bot setiap hari untuk ke sekolah yang memakan masa lebih kurang satu jam 30 minit.
“Saya menaiki bot dari prasekolah hinggalah darjah lima, kemudian barulah ada jalan darat. Botlah pengangkutan utama saya, tidak kira hujan mahupun panas. Kami dapat melihat gajah berenang di sungai, satu pengalaman yang sangat menyeronokkan dan tak dapat saya lupakan,” katanya.
Cabaran menuntut ilmu bagi gadis tinggi lampai itu tidak terhenti di situ kerana dia juga berdepan kesukaran akses internet untuk mengikuti kelas dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Disebabkan kampungnya tidak mempunyai bekalan elektrik dan hanya bergantung kepada generator, Roziana menghadapi kesukaran untuk mengikuti kelas dalam talian.
Dia terpaksa berjalan sejauh dua hingga tiga kilometer untuk mendapatkan liputan stabil, malah turut membeli powerbank sebagai persediaan jika telefon kehabisan bateri semasa kelas.
Namun, semua kesukaran itu dihadapi dengan tabah berkat sokongan insan terpenting dalam hidupnya iaitu ibunya.
“Ibu saya adalah tulang belakang saya. Dialah yang sentiasa menyokong saya, baik secara fizikal mahupun mental.
“Selain ibu, seluruh keluarga juga sangat-sangat menyokong. Tanpa mereka, saya tak akan sampai ke tahap ini,” katanya yang bersekolah di SMK Tanjung Gemok yang merupakan sekolah kebangsaan umum dan bukan khusus Orang Asli.
Roziana membina disiplin belajar sendiri sejak awal dengan mengutamakan kerja kursus sebelum mengulang kaji secara konsisten setiap hari.
Dia belajar secara kendiri dan membentuk kumpulan belajar bersama rakan-rakan, membuat ringkasan dalam bentuk nota kecil, peta minda dan lain-lain.
“Saya buat latihan secara konsisten, terutamanya untuk subjek Ekonomi dan Pengajian Am. Saya akan fokus selama 30 hingga 60 minit, kemudian berehat 5 hingga 10 minit supaya tak letih.
“Saya pegang prinsip: belajar bila perlu, rehat bila perlu, barulah tak mudah burnout,” katanya.
Roziana akui Sejarah merupakan mata pelajaran yang memberikan cabaran terbesar buatnya kerana perlu hafal banyak fakta, tarikh dan tokoh.
Untuk itu, Roziana membuat ringkasan visual, bercerita semula isi pelajaran dan berbincang dengan rakan-rakan bagi memperdalam kefahaman.
Di dalam kelas, dia sentiasa memberikan tumpuan dan aktif bertanya guru untuk memastikan pemahaman yang jelas bagi setiap topik.
Dedahnya, menjadi pelajar cemerlang bukanlah satu perjalanan yang mudah kerana adakalanya dia berasa penat, hilang semangat dan hampir putus asa.
Namun, Roziana sentiasa tahu bagaimana untuk memulihkan semangat dan meneruskan perjuangan dalam pelajaran.
“Kalau saya rasa down, saya akan berhenti sekejap, dengar muzik atau keluar jalan-jalan ambil angin.
“Kemudian saya akan ingat balik tujuan asal saya, kenapa saya mula berusaha sejak dulu. Itu yang buat saya kuat semula,” katanya.
Menariknya, Roziana mencuba nasib untuk memohon ke luar negara setelah mengetahui tentang sistem UCAS (Universities and Colleges Admissions Service) melalui perkongsian di TikTok.
Siapa sangka, usahanya memohon ke beberapa universiti di United Kingdom membuahkan hasil apabila dia menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke luar negara iaitu University of Manchester.
Namun, atas sebab-sebab peribadi yang tidak dapat dielakkan, tawaran tersebut terpaksa ditolak.
Kini, Roziana menyasarkan untuk menyambung pengajian dalam bidang Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sedang menunggu keputusan rasmi permohonan UPU yang dijangka diumumkan pada bulan September.
Sebagai seorang anak Orang Asli, Roziana berharap agar lebih banyak peluang, sokongan dan pendedahan awal diberikan kepada anak-anak Orang Asli supaya mereka dapat membina masa depan yang lebih cerah.
“Saya percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat. Ia mampu membuka jalan ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |