Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :KHAIRULMIZAN YAHYA
Title :Suspek gangguan penyu Cherating ditahan, positif dadah
Faculty :Kosmo
Year of Publication :28 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian mengganggu seekor penyu yang sedang naik ke darat untuk bertelur di pantai berhampiran Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dekat Cherating, di sini. Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi di sekitar kawasan Cherating hasil siasatan segera susulan video tular yang dirakam pengunjung. “Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah manakala dua lagi lelaki yang turut kelihatan dalam video berkenaan masih dikesan,” katanya dalam satu kenyatan, di sini, hari ini. Jelasnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi pada 27 Julai lalu yang menunjukkan tiga lelaki mengangkat seekor penyu ke kawasan lubang bertelur yang telah digali. “Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai bertujuan mempercepatkan proses penyu bertelur untuk mendapatkan telur secara haram. “Namun begitu, setelah perbuatan mereka disedari dan ditegur oleh beberapa pengunjung, suspek bertindak melepaskan semula penyu tersebut ke laut,” katanya. Katanya, bertindak atas laporan yang dibuat oleh Ketua Pusat Konservasi Penyu Cherating, pihak polis telah menjalankan siasatan segera dan berjaya mengenal pasti salah seorang suspek melalui rakaman video yang tular.   Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang melarang sebarang bentuk gangguan terhadap penyu dan telur penyu serta Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri Pahang kerana pemilikan telur penyu tanpa permit sah yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM5,000. “Polis memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan agensi berkaitan dalam memastikan pelaku yang mengganggu spesies marin dilindungi seperti penyu dikenakan tindakan tegas. “Orang awam diingatkan supaya tidak melakukan sebarang bentuk gangguan terhadap hidupan marin dan diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika menyaksikan sebarang aktiviti yang mencurigakan,” katanya.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035