|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Lima bulan lagi menjelang 2026 menandakan bermulanya Tahun Melawat Malaysia (TMM26). Alam semula jadi di hutan atau pantai menjadi antara tarikan pelancong di negara ini termasuk Pahang.
Bagi yang menggemari pelancongan berasaskan alam semula jadi, Hutan Ramsar Tasik Bera, Tasik Chini di Pekan, Tasik Paya Bungor dan Pantai Cherating di Kuantan sudah lama terkenal di seluruh dunia.
Hutan lipur seperti Hutan Lipur Teladas di Maran, Hutan Lipur Som (Jerantut) dan Hutan Lipur Terenggun (Lipis) juga antara lokasi yang bakal menggamit pelancong.
Selain itu, Kuantan menjadi antara destinasi awal pelancong sebelum mereka bertandang ke daerah-daerah lain.
Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Syakir Amir Ab. Rahman, berkata, TMM2026 dijangka menjadi antara inisiatif dan program pelancongan terbesar negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, Malaysia kaya dengan sumber alam semula jadi, keunikan warisan dan budaya, bangunan pencakar langit dan moden, serta keramahan masyarakat majmuk sekali gus meyakinkan pelancong asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan.
“Kempen TMM26 ini penting untuk mendapatkan semula kepercayaan dan keyakinan pelancong asing ke Malaysia selepas berakhirnya pandemik Covid-19 sekali gus bakal menjadi salah satu pemangkin utama dalam memulihkan dan melonjakkan sektor pelancongan negara.
“Penjenamaan semula Malaysia di mata dunia juga penting untuk membuktikan kepada pelabur asing bahawa Malaysia kekal selamat dan berdaya saing dalam pasaran antarabangsa,” katanya.
Sebelum pandemik, industri pelancongan menyumbang hampir 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikannya salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Dengan pelaksanaan kempen TMM26, Malaysia berpeluang memulih dan mengukuhkan kembali kedudukan tersebut.
“Ketibaan pelancong antarabangsa akan merancakkan permintaan terhadap perkhidmatan seperti pengangkutan, makanan dan minuman, perhotelan, dan hiburan,” katanya.
Jelasnya, TMM26 memberi kesan makro kepada ekonomi, sekali gus menyediakan banyak peluang keusahawanan di peringkat akar umbi khususnya di luar bandar yang terlibat dalam aktiviti pelancongan.
Persoalannya jika dilihat keadaan semasa apa respons pelancong jika bertandang ke Tasik Bera dan Tasik Chini yang suram tanpa infrastruktur termasuk pusat peranginan dan perkhidmatan pelancongan terbaik.
Begitu juga Tasik Chini adakah ia sudah pulih dan bersedia menyambut tetamu?
Pantai Cherating yang terkenal satu masa dahulu dilihat terbiar dengan pantai terhakis dan suasana ‘sendu’.
Walaupun Cameron Highlands menyajikan pelbagai tarikan, namun masalah kesesakan lalu lintas masih membelenggu setiap kali musim cuti tiba.
Pihak berkaitan seharusnya tidak memandang sepi lokasi-lokasi tersebut dan tindakan segera perlu diambil sebelum menjelangnya TMM26.Persoalannya bersediakah kita menyambut TMM26?
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |