|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KELAWAR merupakan sejenis mamalia yang mungkin tidak digemari oleh kebanyakan daripada kita.
Malah, tentu ramai di antara kita geli untuk memegangnya, tetapi tidak buat Dr. Juliana Senawi apabila kelawar boleh dikatakan telah menjadi teman rapat wanita itu.
Dia yang bertugas di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan saintis kelawar dan sering menjalankan penyelidikan terhadap mamalia bersayap tersebut.
Usaha berterusannya dalam melakukan penyelidikan terhadap kelawar juga telah membolehkannya menerima penghargaan daripada organisasi antarabangsa Conservation Leadership Programme.
Wanita yang berusia 47 tahun itu dan pasukannya menerima The Conservation Leadership Award 2021 dan sejumlah geran untuk memulihara kelawar endemik di habitat bersarang yang tidak dilindungi selama tiga tahun di Vietnam.
Selain itu, dia turut mendapat geran penyelidikan dari dalam dan luar negara untuk kajian-kajian berkaitan kelawar.
Dia juga terlibat dalam pembangunan rumah kelawar pertama di Asia Tenggara yang dibina di UKM.
Juliana berkata, dia sememangnya fokus kepada mengkaji kelawar sahaja di dalam penyelidikannya.
“Saya cuma fokus kepada haiwan ini kerana ingin mengkajinya secara lebih mendalam dan bukan sekadar dasar sahaja.
“Pendekatan kajian saya bukan sekadar mengenal spesies kelawar tetapi lebih daripada itu. Saya ingin mengetahui juga tentang cara haiwan ini terbang, bagaimana gema lokasi berfungsi untuk kelawar, khidmatnya kepada ekosistem dan lain-lain yang berkaitan kelawar dengan lebih mendalam,” katanya yang merupakan anak Felda Tenggaroh 6 di Mersing, Johor.
Pun begitu katanya, sehingga kini dia baru menguasai 50 ke 80 peratus daripada setiap bidang yang ada pada kelawar kajiannya.
Kongsi Juliana, dia turut mengkaji tentang biomekanik atau cara kelawar terbang ataupun bergerak.
Kajiannya dalam cara kelawar terbang juga telah membuka peluang baharu dalam penerokaan sains gunaan.
“Saya juga mengkaji tentang bagaimana kelawar boleh terbang masuk ke kawasan sempit dan gelap seperti di dalam gua tanpa perlanggaran dan ini memberi inspirasi kepada pembangunan sistem navigasi moden,” katanya.
Daripada kajian terhadap cara kelawar terbang, manusia boleh memperkasa sains dan teknologi.
“Kita boleh aplikasi kelebihan yang ada pada kelawar ini untuk pembangunan dron dan juga sistem penerbangan dan lain-lain lagi untuk teknologi berkaitan,” jelasnya.
Kajiannya tentang kebolehan kelawar terbang turut menarik perhatian komuniti antarabangsa.
Juliana bahkan akan dijemput ke India pada bulan Mac tahun hadapan untuk memberi pembentangan tentang kajian tersebut.
Komuniti antarabangsa mengetahui kajian-kajian itu berdasarkan jurnal berkaitan kebolehan kelawar terbang yang dihasilkannya.
Sebagai penyelidik aktif, dia telah menghasilkan lebih ratusan jurnal berkaitan kelawar dan diterbitkan dalam pelbagai tahap indeks.
Akui Juliana, dia juga biasa digelar ‘batwoman’ terutama oleh rakan-rakan sepensyarah di UKM.
Menceritakan bagaimana boleh terlibat dalam penyelidikan kelawar, Juliana berkata, dia sebenarnya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi saintis kelawar dalam hidupnya.
Malah, ketika kecil dia tidak begitu mengenali kelawar.
“Tetapi sejak kecil saya amat minat dengan aktiviti luar, namun keadaan kesihatan yang kurang memuaskan sewaktu kecil telah menyebabkan keluarga saya sering menyekat hasrat saya untuk terlibat dalam aktiviti lasak.
“Ketika saya melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UKM, saya memilih program biologi pemuliharaan dan ekologi dengan pengkhususan dalam genetik.
“Pemilihan program itu bukan sekadar minat akademik, tetapi juga strategi yang membolehkan saya terlibat dalam kerja lapangan dan aktiviti luar,” ujarnya.
Ketika itu, dia terlibat dalam penyelidikan mengenai katak di Taman Negara Endau-Rompin, Johor.
Setelah menamatkan pengajian, dia berkhidmat sebagai pembantu penyelidik dalam projek berkaitan katak.
Namun, penyelia untuk kajian itu kemudiannya berhenti dari UKM untuk ke Amerika Syarikat. Juliana kemudian meneruskan kajian katak dengan penyeliaan penyelia lain.
Menurutnya, pada masa itu juga dia mendapat tawaran biasiswa daripada Universiti Boston untuk menjalankan penyelidikan kelawar bagi pengajian peringkat sarjana.
“UKM dan Universiti Boston ada menjalinkan kerjasama dan biasiswa ini memerlukan saya kekal menjalankan kajian kelawar di Malaysia.
“Maka di sinilah bermulanya kisah saya sebagai seorang penyelidik kelawar,” terangnya yang menyambung pengajian peringkat sarjana pada usia 22 tahun.
Tambahnya, untuk pengajian peringkat sarjana itu dia mengambil program sains zoologi dan fokus kepada kelawar.
Dia bertanggungjawab untuk melakukan kajian tentang kepelbagaian kelawar di lima lokaliti di Rizab Hidupan Liar Krau yang kini juga dikenali sebagai Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang, Malaysia.
Juliana menjalani penyelidikan intensif selama hampir setahun setengah di dalam hutan itu untuk menentukan taburan spesies kelawar di kawasan tanah rendah.
“Saya keluar masuk ke dalam hutan selama setahun setengah untuk melakukan kajian kelawar ini.
“Tetapi untuk tempoh ini kebanyakan masa saya di dalam hutan dan akan keluar apabila perlu sahaja,” katanya.
Setelah tamat pengajian sarjana Juliana kemudiannya menyertai sebuah pertubuhan antarabangsa, Operation Wallacea Trust sebagai saintis kelawar selama dua tahun dan ditempatkan di Sulawesi, Indonesia.
Kemudian dia pulang ke tanah air dan menyertai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebagai Pegawai Penyelidik Hidupan Liar.
Di sana, dia mengetuai kajian terhadap mamalia besar seperti gajah, serta mamalia kecil termasuk kelawar.
Titik perubahan besar berlaku apabila Juliana ditawarkan untuk memindahkan perkhidmatannya ke UKM, kali ini sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari (Lestari).
“Apabila masuk UKM saya wajib untuk sambung belajar bagi mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Saya kemudian mendapat biasiswa dan menyambung pengajian PhD di Texas Tech University, Amerika Syarikat,” ujarnya.
Di sana beliau menumpukan kajian kepada ekomorfologi dan biomekanik kelawar, khususnya prestasi penerbangan dan kekuatan gigitan.
Penyelidikannya lebih kepada biofizik yang kurang diteroka sebelum ini.
Mengulas lanjut Juliana berkata, kelawar sebenarnya merupakan antara agen ekologi paling penting dan berperanan besar dalam keseimbangan alam.
Menurutnya, negara kita mempunyai lebih 140 spesies kelawar dan hampir 80 peratus daripadanya memakan serangga dan berperanan penting dalam mengawal populasi serangga perosak tanaman serta serangga pembawa penyakit seperti nyamuk dan lalat.
Manakala, 20 peratus lagi merupakan agen pendebungaan untuk banyak jenis tumbuhan tempatan terutamanya durian dan petai.
“Dengan keupayaan makan hampir 80 peratus daripada berat badannya dalam satu malam, kumpulan kelawar yang besar boleh memakan beribu-ribu serangga setiap malam.
“Ini menjadikan kelawar sebagai egen yang membantu petani dan kesihatan awam secara tidak langsung,” terangnya.
Namun begitu, kelawar juga menghadapi ancaman kepupusan akibat kehilangan habitat.
Di Malaysia, hampir satu per empat daripada spesies kelawar disenaraikan dalam senarai merah oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) sebagai spesies terancam atau hampir pupus.
Ini mendorong Juliana memperjuangkan pemuliharaan spesies ini, sama ada melalui penyelidikan saintifik mahupun penglibatan dalam dasar pemuliharaan.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |