|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Empangan Kelau yang terletak di daerah Raub, Pahang ini dibina bagi menyokong keperluan air mentah Loji Rawatan Air Sungai Kelau. Ia juga sebagai langkah strategik kerajaan negeri Pahang dalam menampung penggunaan air bersih yang semakin meningkat terutama di kawasan Bentong dan Raub.
Pembinaan Empangan Kelau telah mengubah rupa bumi di sekitarnya. Bukit-bukit kecil yang dahulunya menghiasi daratan, kini menjadi pulau yang tenggelam sepenuhnya atau separa tenggelam.
Pokok-pokok mati yang kekal tegak di tengah tasik memberi imej dramatik, seakan monumen kepada alam yang pernah hidup, sekali gus menjadi saksi perubahan geologi Kelau saban tahun.
Dari sudut ekologi, kewujudan empangan membawa perubahan mikroklimatik yang ketara iaitu kabus pagi lebih tebal, suhu sekitar lebih lembap dan biodiversiti air tawar yang berkembang.
Pembinaan Empangan Kelau juga membuka ruang kepada spesies ikan seperti toman, sebarau, baung dan lampam untuk membiak dengan lebih baik sehingga menjadikan kawasan ini sebagai habitat ikan pemangsa dan tempat buruan utama pemancing.
Jarak yang dekat dengan ibu kota membuatkan empangan ini menjadi pilihan kaki pancing untuk melepaskan ‘gian’.
Kunjungan ke Kelau
Pertama kali saya mengetahui kewujudan empangan ini adalah sekitar tahun 2018. Pada waktu itu, saya kebetulan melalui empangan ini ke Lembah Temir di Raub untuk membuat liputan berita.
Kunjungan kedua pula ketika saya menerbitkan program televisyen, Kail X pada 2021. Ketika itu, seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 dan saya masih lagi dalam fasa ‘belajar’ teknik mengilat ikan toman.
Baru-baru ini, saya sekali lagi turun ke Kelau setelah beberapa tahun bersama Azlan Ariff dan rakan kongsinya, Mohd. Zahrin daripada Moza Fishing Guide yang mempunyai lapan buah bot sewa beserta jurupandu (fishing guide) berpengalaman.
Segalanya bermula dengan ajakan ketika Azlan dan Zahrin menjadi tetamu untuk Podcast Gewang. Dari situ, segala perancangan diatur.
Memandangkan sudah lama saya memasang niat untuk turun ke Kelau yang terkenal dengan ikan toman perkasa, saya memastikan segala persiapan dibuat rapi sebelum pergi.
‘Senjata’ pilihan
Saya memilih menggunakan joran Rentaka Defy No. 6, PE2-3 yang dipadankan dengan kekili menegak Abu Roxani Power Shooter dengan gear ratio 8.0:1, diisi tali braid Berkley 40 paun (lb), berserta shockleader 50lb. Sasaran saya sudah tentulah ikan toman.
Menurut Zahrin yang kerap membawa pemancing dari luar negara, empangan ini bukan sahaja ada ikan toman, malah ia kaya dengan kepelbagaian spesies ikan asli negara seperti sebarau, haruan, lampam, seluang, kalui dan belida.
Namun, baru-baru ini, ikan cichla temensis sudah mula dikesan keberadaannya di empangan ini, sekali gus menyertai senarai ikan pendatang yang sudah sekian lama ada seperti tilapia dan ‘saudaranya’, ikanzebra.
Ketiga-tiga spesies tersebut tergolong dalam keluarga cichlidae dan ia merupakan ancaman terbesar buat perairan tempatan. Namun, dikatakan, populasi spesies ikan pendatang di sini masih lagi terkawal, mungkin kerana terdapatnya ikan toman yang menjadi ‘pak guard’ empangan.
Pemburuan toman bermula
Sebaik menaiki bot, kami tidak menunggu lama untuk melabuhkan gewang ke dalam air. Agak geram apabila terlihat banyak boiling toman bujang, namun semuanya sombong, cuma sekali dua gewang kami mendapat sapaan, tetapi tidak lekat.
Apabila tiada lagi sambaran, kami terus menukar strategi. Sementelah matahari mula memancarkan sinar, kami terus ke lokasi seterusnya mencari tompokan anak-anak ikan toman.
Di satu suak, kami bernasib baik apabila terjumpa dengan tompokan anak ‘serbuk’ iaitu panggilan pengilat bagi kumpulan anak-anak ikan toman bersaiz halus.
Zahrin memberitahu tompokan tersebut merupakan anak-anak yang masih baharu, dan induknya belum di ‘pakok’ iaitu bermaksud masih belum kena gewang lagi.
Kami memilih menggunakan spinnerbait untuk mengurangkan risiko gewang ‘dicukai’ kerana keadaan suak yang penuh dengan tunggal dan kayu mati.
Beberapa kali spinnerbait saya dan Azlan ‘diketuk’, namun tiada sambaran yang jitu daripada ‘mama’ toman. Kemudian kami terus berpindah ke lokasi lain. Kali ini Zahrin membawa kami ke perairan terbuka di tengah-tengah empangan.
Induk Toman
Nasib kami agak baik, sampai sahaja di lokasi baharu, sudah kelihatan satu tompokan anak-anak toman anggaran saiz seinci naik ke permukaan air. Kali ini, kami tukar gewang kepada jenis selaman dalam (crankbait).
Azlan mendapat strike yang pertama, apabila gewang Gold Digger800 berwarna durian yang digunakannya berjaya memikat mama toman itu.
Selang beberapa minit kemudian selepas beberapa balingan ke arah tompokan anak-anak toman yang sama, gewang saya pula dihenjut padu oleh induk ikan toman.
Perasaan sedikit gemuruh ketika mengawal benaman padu daripada induk tersebut sehingga ia berjaya berselindung di sebalik tunggul kayu. Ketika inilah segala pengalaman dan ilmu memancing digunakan sebaiknya.
Hasilnya, papa toman tersebut berjaya dijinakkan. Papa dan mama toman itu dilepaskan berhampiran tompokan anaknya semula.
Kenangan Kelau
Kami memutuskan untuk mencuba beberapa tempat lagi sebelum pulang memandang hari semakin lewat. Namun, hanya itulah hasil mengewang yang kami dapat untuk trip kali ini.
Banyak perkara baharu yang saya pelajari daripada Azlan dan Zahrin ketika kunjungan ini terutamanya dari segi perniagaan serta perkhidmatan memancing yang ditawarkan.
Ini sekali gus mencantas cakap-cakap orang yang mengatakan memancing merupakan hobi membazir.
Namun, seperti yang diungkapkan Azlan kepada saya: “Kalau dipandang dari segi hobi, mungkin ia nampak seperti membazir, namun dari segi perniagaan, memancing merupakan peluang terbaik untuk jana pendapatan dalam perniagaan.”
Semoga Empangan Kelau terus memberikan khidmat kepada pemancing khususnya penggemar teknik mengilat.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |