|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| MEMASAK bukan sekadar satu keperluan untuk mengisi perut. Bagi sesetengah individu, ia merupakan satu bentuk ekspresi diri.
Resipi bukan hanya panduan untuk memasak, malah wadah bagi meneroka, mengasah kemahiran dan mencipta kelainan.
Bagi Leanne Toh Shi Min, minatnya terhadap dunia masakan bermula selepas terpersona melihat para peserta dalam rancangan MasterChef pada usia 13 tahun.
Pada tahun berikutnya, anak bongsu kepada tiga beradik itu memberanikan diri membakar sebiji kek cawan red velvet yang dihias dengan Nutella sempena sambutan Hari Ibu.
Reaksi baik ibunya terhadap usaha tersebut menyemarakkan lagi semangat Leanne untuk terus meneroka dunia kulinari di peringkat pengajian tinggi.
Anak jati Kuala Lumpur ini merupakan graduan Diploma Seni Kulinari serta Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengurusan Kulinari di Sunway University, Selangor.
Bagi merealisasikan hobinya itu sebagai kerjaya sebenar, Leanne kini mula menawarkan perkhidmatan fine dining (santapan mewah) kepada rakan-rakan dan ahli keluarga.
“Saya sediakan perkhidmatan ini sama ada di rumah mereka atau di studio saya di Puchong.
“Kelebihannya, mereka tidak perlu memakai sut atau gaun labuh yang sinonim dengan fine dining. Yang penting, rasa dan pengalaman.
“Ada kalanya saya buat untuk meraikan hari-hari istimewa seperti hari jadi, atau mereka menempah khidmat saya bagi meraikan insan tersayang.
“Kadang-kadang, saya buat secara suka-suka sebagai cara untuk mengasah kemahiran serta memberi peluang kepada mereka mencuba resipi baharu,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.
Leanne merupakan salah seorang finalis Genting Culinary Classic 2025 yang berlangsung di Genting International Showroom (GISR), Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.
Dalam pertandingan itu, gadis berusia 27 tahun itu berjaya mencuri perhatian apabila menghasilkan mi menggunakan isi udang bagi menggantikan penggunaan mi kuning.
Biarpun tidak meraih kemenangan, namun bekas atlet Selangor itu tetap gembira dengan pengalaman sulungnya menyertai pertandingan kulinari tersebut.
Kongsinya, masakan tersebut pernah dihidangkan kepada ibu bapanya dalam satu sesi fine dining sebagai usaha mencari resipi terbaik untuk diketengahkan.
“Sebenarnya, bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu resipi.
“Ada resipi yang mengambil masa berminggu-minggu hanya untuk sesi percambahan idea.
“Saya tiada pasukan. Semuanya saya lakukan sendiri, daripada mencipta resipi, membeli bahan sehinggalah menyediakannya untuk ‘pelanggan’ saya.
“Ini semua merupakan persediaan saya dalam merealisasikan impian untuk membuka sebuah restoran bertemakan fine dining pada suatu hari nanti,” katanya.
Ketika ini, menu yang ditawarkan oleh Leanne terdiri daripada lapan hidangan termasuk dua snek, dua pembuka selera, satu pembersih lelangit (palate cleanser), satu hidangan utama, satu pencuci mulut dan satu petit fours.
Rakan-rakan atau ahli keluarga yang berminat menggunakan perkhidmatannya hanya perlu memberi notis sekurang-kurangnya dua minggu awal.
Malah, pelanggannya boleh memilih atau menyesuaikan menu mengikut cita rasa masing-masing.
Lebih menarik, Leanne juga berhasrat menyediakan fine dining khas untuk haiwan peliharaan yang merangkumi tiga hidangan iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut.
“Setiap kali saya buat fine dining untuk keluarga, anjing saya turut serta dalam pengalaman itu.
“Namun, saya masih belum pernah menyediakan makanan untuk haiwan peliharaan orang lain.
“Mungkin pada suatu hari nanti saya akan cuba dan tawarkan pengalaman fine dining kepada haiwan peliharaan pelanggan pula,” ujarnya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |