Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Johari Jamil
Title :Empangan Kelau mesra pemburu toman
Faculty :Kosmo
Year of Publication :19 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
Sungai Kelau yang membentuk empangan ini merupakan anak sungai kepada Sungai Semantan dan Sungai Bentong di Pahang. Bagi pengilat tanah air, empangan ini tidak asing lagi kerana di sini, terdapat spesies yang digemari oleh kaki casting iaitu ikan toman. Pada awal kewujudan empangan ini, ia kurang mendapat perhatian pemancing kerana ikan haruan sahaja yang banyak terdapat di sini Diberitakan ada tangan-tangan yang ‘gatal’ telah melepaskan ikan toman di empangan ini. Oleh kerana terdapat sumber makanan mewah seperti spesies ikan kecil berupa lampam dan sebagainya, maka ikan toman yang menjadi top predator telah membiak dengan sangat berjaya dalam kadar pantas. Sebenarnya, masih banyak spesies ikan lain menghuni empangan ini seperti sebarau, baung, haruan, lampam, tilapia, belida dan kalui yang menjadi ikan target bagi pemancing rekreasi. Namun bulan berganti tahun, empangan ini menjadi lokasi utama pemburu ikan toman. Ia boleh dipancing sepanjang tahun dengan musim kemuncaknya di antara Jun hingga Ogos. Aktiviti pancingan ikan toman di empangan ini juga dapat menjana ekonomi masyarakat sekitar apabila mereka menyediakan perkhidmatan menyewa bot dan lain-lain. Boleh dikatakan sekarang ini setiap hari ramai kaki pancing hadir memburu ikan toman di sini terutamanya ketika hujung minggu dan cuti umum.Saya sendiri sudah berkali-kali datang ke sini dan ternyata ikan toman masih banyak dari segi popu­lasi dan saiznya kasar-kasar belaka. Bagi pemancing, anda mempunyai dua pilihan sama ada untuk menyewa bot dengan tekong ataupun membawa bot sendiri. Jika pertama kali ke sini, anda disyorkan untuk menyewa bot berserta tekong kerana di empangan ini terdapat banyak tunggal-tunggul kayu yang tidak kelihatan. Mereka yang selalu turun ke sini pun ada kalanya terlanggar tunggal-tunggul. Ini antara risiko yang perlu diambil berat oleh pemancing. Teknikal Mengilat gewang adalah teknik paling utama dipraktikkan di sini. Kebiasaannya, tekong akan mencari kelompok anak-anak ikan toman, jika kelihatan, enjin bot akan dimatikan dan mula menggunakan enjin elektrik (thruster) untuk merapati tempat tadi. Pemancing hanya perlu menunggu kelompok anak-anak toman itu naik ke permukaan air dan terus melakukan lontaran gewang. Lontaran haruslah dilakukan dengan tepat untuk memikat induknya yang selalunya berada rapat dengan anak-anaknya. Gewang yang kerap digunakan untuk menggoda ikan toman di sini adalah selaman dalam, spinnerbait, buzzbait dan gewang permukaan seperti pencil serta popper. Tali utama juga perlu kuat kerana ikan akan sedaya upaya memecut ke reba kayu sebaik sahaja ia membaham gewang. Tali sulam (braided) berkekuatan antara 30 hingga 50 paun (lb) disyorkan berserta perambut fluorocarbon antara 40 hingga 60lb untuk menahan asakan padunya. Memburu induk toman bukan sekadar baling dan tarik gewang. Banyak aspek teknikal yang perlu diambil kira seperti arah balingan, jauh mana balingan, cara karauan sama ada perlahan atau laju dan banyak lagi. Jadi, sila dengar nasihat tekong untuk menaikkan peratusan kejayaan. Toman bujang Jika tidak memburu induk toman, pemancing boleh mencari toman bujang iaitu ikan toman yang tidak membawa anak. Kaedah ini lebih mudah, tetapi agak memenatkan kerana banyak kali lemparan gewang perlu dilakukan. Pemancing boleh menggunakan gewang soft plastic saiz besar seperti soft lure K2 Eupro atau Ozmy Silencer. Ia hanya perlu dibaling secara rambang (blindcast) ke arah tebing-tebing yang dipenuhi pokok keladi bunting. Toman bujang lebih gemar berada di kawasan ini sebaik sahaja matahari memunculkan diri. Menariknya di empangan ini, ada kalanya kelihatan toman-toman bujang ini rancak membaham anak-anak ikan di tengah tasik. Pemancing perlu mengambil ­peluang ini kerana apa sahaja gewang yang dilontarkan ketika itu akan disambutnya. Saiz purata toman bujang yang diperolehi berskala antara dua hingga tiga kilogram (kg) dan ada kalanya lebih besar lagi. Tekong-tekong di sini juga mahir memburu toman, jadi apa yang disyorkan mereka, jangan sesekali diabaikan jika ingin pulang dengan senyuman. Kini dengan adanya media sosial seperti Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya, Empangan Kelau telah mendapat publisiti meluas sehingga ada pemancing dari seberang laut seperti Perancis, Jepun, Vietnam, Thailand serta pelbagai negara lain hadir semata-mata untuk mempelajari teknik memancing toman. Ada antara mereka ingin mencari rekod peribadi. Setakat ini, rekod tangkapan terberat toman di sini adalah 24lb oleh pemancing tempatan. Saya sendiri pernah mendaratkan toman berskala 16lb beberapa bulan lalu menggunakan gewang selaman dalam. Kerap juga pengunjung di sini tidak berjaya mendaratkan tangkapan atas faktor tali putus, mata kail terkangkang, kili terbuka dan paling kerap, toman berjaya membelitkan tali ke reba di dalam air. Pada saya, inilah ‘padang’ pancing yang sesuai bagi kaki mengilat yang baru hendak menjinakkan diri memburu ikan toman kerana lokasi-lokasi lain biasanya memerlukan kepakaran dan kesabaran tinggi untuk membuahkan hasil. Saya juga berharap ikan-ikan toman di Empangan Kelau berkekalan populasinya untuk kesejahteraan jiwa dan raga pemancing ikan toman di negara kita. Oleh itu, nasihat saya kepada pemancing supaya mewujudkan etika yang baik dalam diri dan jaga perairan kita untuk generasi akan datang.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035