Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :SALEHUDIN MAT RASAD
Title :‘Kami akan saman pemandu Bezza di mahkamah’
Faculty :Kosmo
Year of Publication :14 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TEMERLOH – Ahli keluarga dua mangsa kemalangan maut di persimpangan lampu isya­rat Jalan Tengku Ismail di sini, Rabu lalu, nekad menuntut keadilan buat anak mereka dan menegaskan akan memfailkan saman terhadap individu yang menyebabkan tragedi itu berlaku. Mohamad Shahrul Sham Mohd. Salleh, 40, berkata, walaupun Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, hanya anak tiri tetapi dia mahu mendapatkan hak kerana Allahyarham yang dibela sejak kecil sangat rapat dengannya. Katanya, tragedi itu meninggalkan trauma berpanjangan kepada ahli keluarga dan dia telah mengambil kira beberapa faktor termasuk mendapatkan nasihat pihak berkuasa selain berbincang sesama mereka sebelum nekad memfailkan saman di mahkamah. “Kami akan lawan di mahkamah demi keadilan anak kami. Saya jaga Allahyarham sejak dia berusia dua tahun dan sudah anggap dia seperti anak kandung,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Luas di sini semalam. Terdahulu, keluarga mangsa kemalangan itu menerima ziarah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli menyantuni mereka serta menyampaikan sumbangan ketika berangkat ke Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Ribut di sini. Kelmarin Kosmo! Online me­laporkan Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan pembonceng motosikal, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang melanggar lampu isyarat. Lebih mengejutkan, kejadian pada pukul 11 malam itu membongkar kegiatan pengedaran dadah apabila polis menemui sejumlah syabu dan heroin di dalam kereta dinaiki lelaki berusia 38 tahuntersebut.   Menurut Mohamad Shahrul Sham, keluarga juga telah bersetuju menjalankan proses bedah siasat bagi memastikan punca kematian direkodkan secara rasmi dan sah di sisi undang-undang. “Kalau kami tak buat post mortem, kes ini mungkin dianggap kes ringan, tetapi sekarang kami sudah ambil tindakan sewajar­nya dan akan bawa perkara ini ke mahkamah,” tegasnya. Menurutnya lagi, pihak berkuasa turut menasihatkan agar keluarga mempertimbangkan tindakan sivil memandangkan insiden itu melibatkan kehilangan nyawa dan unsur kecuaian di jalan raya. Tambahnya, keluarga juga terpaksa berdepan tekanan emosi dan tanggapan pelbagai pihak di media sosial yang menimbulkan persepsi negatif terhadap ­mangsa. “Anak saya dirempuh sewaktu berhenti di lampu isyarat. Kami bukan mahu membalas dendam tetapi keadilan mesti ditegakkan. Jika tidak ada tindakan, nyawa anak kami seolah-olah tidak bernilai. “Arwah bukan penunggang yang cuai, dia ikut peraturan, berhenti di lampu isyarat tetapi dilanggar dari arah belakang. Kita tak boleh diam dan biarkan begitu sahaja,” katanya dengan nada sebak. Ujar Mohamad Shahrul Sham, pihaknya kini sedang mendapatkan nasihat guaman dan mengumpul semua dokumen berkaitan termasuk laporan polis, perubatan serta saksi kejadian sebelum memfailkan saman dalam masa terdekat. Beliau berharap tindakan itu dapat menjadi peringatan kepada masyarakat tentang tanggungjawab di jalan raya serta kepenti­ngan memastikan undang-undang dipatuhi oleh semua pihak tanpa pilih kasih. Tambahnya, walaupun perit kehilangan anak tersayang, beliau tidak mahu arwah dikenang sebagai mangsa yang terbiar tanpa pembelaan. “Kami tak mahu perkara ini berulang kepada orang lain. Biarlah ini jadi perjuangan akhir kami untuk dia, semoga rohnya tenang dan mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya. Sementara itu, isterinya, Siti Asmaq Wan Abdul Kadir, 40, bersetuju dengan tindakan itu. Ibu Allahyarhamah Nur Irdina Shaffiya, Yusnani Mohd. Yusof, 46, turut menyatakan hasrat yang sama. “Walaupun kami reda dengan takdir Allah tetapi mereka yang lalai perlu dikenakan hukuman setimpal,” katanya.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035