Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :SALEHUDIN MAT RASAD
Title :Sultan Pahang bimbang ajaran sesat Al-Ahmadiah menular di Temerloh
Faculty :Kosmo
Year of Publication :13 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TEMERLOH – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melahirkan kebimbangan terhadap penularan ajaran sesat aliran Al-Ahmadiah yang dikesan berlaku di daerah ini, meskipun telah lama difatwakan haram oleh pihak berkuasa agama negara. Baginda bertitah demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ubudiah, Kampung Paya Luas, di sini, apabila dimaklumkan terdapat individu yang cuba menyebarkan fahaman berkenaan kepada penduduk setempat. “Ajaran ini telah diharamkan. Kenapa masih ada tiga, empat orang yang masih mahu menyebarkannya? Dari segi undang-undang dan fatwa, ia jelas menyalahi ketetapan agama,” titah baginda dengan nada tegas hari ini. Menurut baginda, penyebaran ajaran salah seperti aliran Al-Ahmadiah boleh merosakkan akidah umat Islam dan menggugat keharmonian hidup masyarakat, khususnya di negeri ini yang sejak sekian lama berpaksikan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Baginda menegaskan bahawa rakyat Pahang perlu bersatu memelihara kesucian Islam daripada dicemari oleh fahaman yang menyeleweng, yang bukan sahaja bercanggah dengan akidah tetapi juga mampu menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. “Saya harap ada kebijaksanaan. Tolong nasihatkan mereka supaya jangan ajar sesuatu yang telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Ugama Islam Pahang,” titah baginda lagi. Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua lapisan masyarakat, termasuk ketua kampung, penghulu, imam, ahli jawatankuasa masjid, kadi serta pihak polis supaya memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam membanteras penyebaran ajaran sesat. – KOSMO! ONLINE  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035