|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| FISIOLOGI merupakan satu cabang sains yang penting dalam memahami fungsi tubuh badan manusia.
Mereka yang memilih untuk mendalami bidang perubatan perlu menguasai cabang sains tersebut.
Bagi menguji kefahaman pelajar-pelajar perubatan dalam fisiologi, Malaysian Physiology Quiz (MyPQ) 2025 telah diadakan di Kulliyah Perubatan, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Seramai 13 pasukan dari 11 institusi pengajian tinggi yang diwakili bakat-bakat muda dalam bidang perubatan telah bersaing dalam pertandingan tersebut.
MyPQ merupakan pertandingan kuiz kebangsaan yang menguji kefahaman mendalam para pelajar perubatan dalam subjek fisiologi manusia, satu cabang penting dalam sains.
Edisi pertama telah diadakan pada tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan untuk edisi kedua ia diadakan di UIAM.
Selain UIAM, antara institusi pengajian tinggi yang menyertai MyPQ 2025 ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Monash University Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan lain-lain lagi.
Pengerusi MyPQ 2025, Dr. Wan Fatein Nabeila Wan Omar berkata, pertandingan ini bukan sekadar menguji teori, malah turut mengasah kemahiran berfikir secara kritikal, kerja berpasukan dan kebolehan membuat keputusan pantas yang merupakan elemen penting dalam profesion perubatan.
Menurutnya, format kuiz ini merangkumi pelbagai peringkat, termasuk pusingan bertulis melalui soalan aneka pilihan, peringkat suku dan separuh akhir melalui soalan lisan individu serta pusingan akhir melalui soalan lisan berkumpulan yang memerlukan pelajar menjawab secara spontan.
“Kami menganjurkan kuiz ini sebagai satu platform untuk mengumpulkan pelajar perubatan dari seluruh Malaysia dalam suasana yang menyeronokkan dan kompetitif.
“Selain sebagai pertandingan, kuiz ini juga menjadi ruang pembelajaran yang bermanfaat untuk peserta dan penonton,” kata Wan Fatein Nabeila.
Tambahnya, program tersebut turut menampilkan perkongsian ilmu daripada tokoh terkenal dalam bidang fisiologi iaitu Prof. Dr. Cheng Hwee Ming dan inilah peluang untuk semua yang hadir menimba ilmu terus daripada pakar.
Malah, penganjuran pertandingan kali ini adalah kerjasama Jabatan Sains Perubatan, Kulliyyah Perubatan, UIAM bersama The Society for Physiology (TSfP) dengan sokongan padu daripada penaja-penaja.
Matlamat utama pertandingan tersebut bukan hanya untuk menonjolkan kepakaran akademik pelajar, tetapi juga mengerat silaturahim antara institusi yang selama ini mungkin jarang berinteraksi secara langsung.
Suasana pertandingan yang kompetitif, namun penuh semangat kesukanan jelas terpancar sepanjang pertandingan.
Para peserta hadir bukan sahaja dengan ilmu, tetapi juga semangat untuk belajar daripada satu sama lain.
Kehadiran pensyarah dan pemerhati dari pelbagai universiti turut mencerminkan komitmen institusi dalam menyokong pembangunan akademik yang holistik.
Pasukan USM Kleos dari USM telah memenangi tempat pertama dan akan ditaja TSfP untuk menyertai Inter-Medical School Physiology Quiz (IMSPQ) di Bangkok, Thailand pada Julai depan.
Pasukan Baiti Jannati dari UIAM telah memenangi tempat kedua, manakala Pasukan Triple Helix dari Monash University telah mendapat tempat ketiga.
Mengulas lanjut, Dr. Wan Fatein Nabeila berkata, fisiologi ialah bidang ilmu yang mengkaji bagaimana sistem organ dalam tubuh manusia berfungsi.
Menurutnya, dengan memahami fisiologi, para pelajar perubatan dapat memahami kesan apabila fungsi sesuatu organ terganggu.
“Contohnya, bagaimana penyakit boleh menyebabkan perubahan pada sistem tubuh dan menghasilkan tanda-tanda tertentu.
“Kefahaman ini sangat penting sebagai asas untuk mengenal pasti penyakit dan merancang rawatan,” ujarnya.
Melalui pertandingan tersebut ia memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu fisiologi yang mereka pelajari di universiti masing-masing.
Selain itu, mereka dapat berkenalan dan menjalin hubungan dengan pelajar-pelajar perubatan lain dari seluruh Malaysia.
Ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan, malah membantu membina jaringan persahabatan dan profesional yang boleh dimanfaatkan pada masa depan.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |