Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :HARIS FADILAH AHMAD
Title :‘Ketika sedang bercakap, dia tiba-tiba senyap’
Faculty :Kosmo
Year of Publication :8 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JERANTUT – Lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Jerantut-Maran di sini malam kelmarin, dikatakan tersesat jalan dan terlepas simpang masuk ke Kampung Paya Gunung di sini sebelum nahas berlaku. Ibu saudara mangsa, Norha­yati Ismail, 60, berkata, anak saudaranya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, telah memulakan perjalanan dari Bota, Perak kira-kira pukul 6 petang kelmarin mengikut laluan Bukit Fraser dan Benta. “Kira-kira pukul 12.35 pagi (semalam), anak saudara saya beri­tahu mereka sudah sampai di Jerantut, tetapi tidak tahu arah jalan masuk ke Kampung Paya Gunung,” katanya di Unit Forensik, Hospital Jerantut di sini semalam. Menurutnya, dia kemudian memberikan sedikit panduan jalan masuk ke Kampung Paya Gunung, tetapi ketika sedang bercakap tiba-tiba talian bertukar senyap. Dia memanggil nama Nur Arfiqah berkali-kali, tetapi tidak menjawab. “Mulalah saya mengesyaki sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku. Saya terus beritahu suami supaya keluar mencari mereka. “Dalam tempoh kira-kira 10 minit, suami menghubungi saya dan beritahu berlaku kemalangan tidak jauh dari kampung ini dan apabila didekati kelihatan kereta Perodua Bezza yang mereka naiki remuk. Mangsa dilihat tersepit dan ada yang tercampak keluar.   “Saya mula rasa lemah dan tidak dapat berkata apa-apa, cuma mampu menyuruh anak, Azuwan pergi melihat kejadian itu,” katanya. Azuwan berkata, ketika dia sampai di tempat kejadian yang cuma kira-kira 500 meter dari persimpangan masuk ke Kampung Paya Gunung, dia terkejut dan terkedu apabila melihat tubuh kelima sepupunya yang sudah tidak bernyawa lagi. “Pemandu Perodua Bezza, arwah Mohamad Ikmal Ishak tersepit di depan dan isterinya, Nur Arfiqah berada di sebelah­nya, manakala seorang lagi saya nampak di belakang sudah tidak bernyawa. “Saya diberitahu orang awam yang berada di tempat kejadian, dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan perempuan tercampak keluar dan mereka cuba mencari di sekeliling, akhirnya bertemu mayat tidak jauh dari kereta,” katanya. Dalam pada itu, Norhayati berkata, Nur Arfiqah juga sempat bergurau sebelum memulakan perjalanan dari Bota. “Dia beritahu sudah bertolak ke Pahang, tetapi sebenarnya mereka belum lagi berlepas dan menghantar gambar-gambar sedang mengemaskan barang. “Selepas beberapa jam perjalanan, saya menghubungi Nur Arfiqah dan dia juga bergurau memberitahu sudah sampai di Jerantut,” katanya.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035