Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :NORFARHIZA MOHD ATAR
Title :Empat lelaki ditahan, pindah tanah secara haram di Paloh Hinai
Faculty :Kosmo
Year of Publication :24 Mei 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PEKAN – Tindakan licik sekumpulan lelaki yang giat menjalankan aktiviti pemindahan tanah tanpa kebenaran terbongkar apabila mereka ditahan dalam satu serbuan di Paloh Hinai, di sini semalam. Dalam operasi yang dijalankan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia dicekup bersama tiga jentera berat yang digunakan bagi kegiatan haram itu. Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata, tiga individu ditahan ketika sedang melakukan kerja-kerja pemindahan tanah, manakala seorang lagi mengaku sebagai pengusaha, namun gagal menunjukkan sebarang dokumen kelulusan. “Sekitar pukul 10.15 pagi, penguat kuasa telah menerbangkan dron dan melihat melalui paparan skrin alat kawalan dron, satu aktiviti pencabutan dan pemindahan bahan batuan disyaki tanah sedang dijalankan di atas Lot PT 4150 ke Lot 2435 melibatkan sebuah jengkaut dan dua buah lori hantu. “Pegawai serbuan bersama 10 anggota elit bertindak membuat serbuan dan menahan seorang pemandu jengkaut warganegara Indonesia dan dua pemandu lori hantu warga tempatan bagi membuat semakan kelulusan dan kebenaran pihak berkuasa negeri berkaitan aktiviti tersebut,” katanya di sini hari ini. Tambah beliau, suspek keempat ditahan kira-kira sejam kemudian selepas lelaki itu hadir ke lokasi yang disyaki berperanan sebagai pengusaha. “Pegawai serbuan seterusnya memaklumkan kepada lelaki berkenaan bahawa dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) iaitu pencabutan dan pemindahan bahan batuan tanah tanpa kelulusan pihak berkuasa negeri.   “Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dan diminta hadir ke Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang untuk diambil keterangan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035