|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Orang cakap memancing udang ini semudah ABC. Labuh sahaja umpan, tunggu udang getu, terus tarik naik, tetapi bagi saya, ia tidaklah sesenang itu. Ada ilmu yang perlu dipelajari dan ada kemahiran harus diasah.
Penting sekali, setiap sungai berlainan cara pancingannya dan udang galah yang menghuni juga lain perangai serta saiz. Jadi pengetahuan berkenaan pancingan udang galah di satu-satu lokaliti itu amat penting untuk kejayaan trip.
Boleh dikatakan banyak sudah lokasi dan lubuk yang dihuni udang galah telah saya jejaki di negara kita.
Akan tetapi, lokasi ini membuatkan saya terkesima. Manakan tidak, saiz udang galah di sini besar-besar belaka dan rekod terkini adalah seberat 455 gram yang telah berjaya dinaikkan.
Memancing udang galah di Sungai Pahang sama ada dari Temerloh, Paloh Hinai, Krau hingga ke Pekan bagi saya sangat mencabar dan tidak sama seperti menduga di sungai-sungai yang ada arus pasang serta surut.
Lokasi trip kali ini adalah di Kampung Pangsenam yang terletak tiga kilometer dari Pekan Temerloh. Saya menggunakan perkhidmatan bot sewa dan rumah rakit Abang Saleh.
Di sini, udang galahnya hidup di sungai yang arusnya sehala. Jadi banyak faktor perlu dititikberatkan.
Contohnya memancing ketika musim kering atau kemarau yang air sungainya surut atau ketika musim hujan, di mana air sungainya besar. Kedua-duanya berbeza cara dan teknikalnya.
Selain itu, suhu air yang panas atau sejuk yang boleh diketahui apabila memegang batu ladung sebaik sahaja dinaikkan dari dasar juga mempengaruhi nafsu makan udang galah di sungai ini.
Bukan itu sahaja, keadaan air yang jernih, keruh atau berkeladak likat juga boleh menaikkan dan menurunkan peratusan kejayaan satu-satu trip memancing udang galah di sini.
Itu belum masuk lagi keadaan arus yang laju atau perlahan akibat daripada kesan hujan sama ada lebat atau tidak dan hari ke berapa sebelum trip.
Pendek kata, terlalu banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum memancing udang galah di sini. Jika pemancing tempatan, mungkin tidak ada masalah besar bagi mereka.
Jika kena hari dan keadaan yang cantik, mereka pasti akan turun memancing udang. Kalau tidak, pasti ada aktiviti lain yang boleh dilakukan.
Masalahnya kepada orang luar seperti saya yang masa lapang terlalu suntuk, tidak ada cara lain kecuali main redah sahaja datang memancing.
Alternatif lain adalah bertanya terlebih dahulu kepada rakan-rakan yang tinggal di sini, barulah boleh turun. Itu pun harus bergerak dengan pantas kerana dalam masa beberapa hari sahaja cuaca dan keadaan sungai boleh berubah.
‘Kumpau’ itu pasti dan ‘merambai’ adalah istilah digunakan penduduk sekitar untuk merujuk kepada tangkapan udang galah yang banyak.
Kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini, hanya tiga ekor udang galah berjaya saya dapat selama dua hari memancing. Apa sahaja saya buat tidak menjadi.
Trip redah sembrono menyebabkan saya hilang punca walaupun tahu rupa bentuk lubuk sedemikian pasti dihuni udang galah, namun kenyataan saya meleset.
Setelah saya berkenalan dengan ‘sifu’ udang galah tempatan iaitu Amin dan Deqwan, barulah perspektif saya berubah.
Mereka berdua mahir memancing di sini dan sempatlah saya menyelami ilmu bagaimana untuk mendapatkan ‘jenggo’.
TeknikalJoran berkekuatan enam hingga 10 paun (lb) dengan panjang antara 5.5 hingga 7 kaki adalah terbaik.
Paling penting, hujung joran mesti lembut bagi memudahkan anda melihat getuan ‘jenggo’. Ia digandingkan dengan kekili mendatar saiz antara 1,000 hingga 2,000 yang boleh menampung tali utama antara lapan hingga 12lb.
Satu perambut utama berkekuatan antara 10 hingga 15lb, panjang lebih kurang 45 sentimeter (sm) dengan dua perambut anak panjang antara 10 hingga 15sm adalah cara yang dipraktikkan di sini.
Batu ladung jenis hidup saiz antara lima hingga lapan bergantung kepada kederasan air sungai.
Mata kail pilihan saya pula saiz nombor satu atau dua, kecil dari itu nescaya mudah lurus atau patah dikemam rahang ‘jenggo’ bersaiz sado. Umpan yang menjadi pilihan utama di sini adalah anak udang beras. Saya ada juga mencuba umpan cacing dan perumpun, tetapi ia sering dicuri ikan lais serta lampam.
Kunci kepada kejayaan memancing di sini adalah kesabaran kerana udang galah senang culas jika terlalu awal menyentak joran sebaik sahaja terasa getuan. Sebaiknya, biarkan seketika udang memakan umpan sehingga betul-betul mata kail sangkut di mulut, barulah joran disentak.
Untuk ‘jenggo’, biasanya saya akan kendurkan sedikit tali sambil memegang joran. Apabila terasa udang menarik secara drastik, barulah joran disentak. Perlawanan dengan ‘jenggo’ perlu berhati-hati terutamanya saat ia menyentak ke belakang.
Rumah rakit SalehPerkhidmatan bot sewa di sini ditawarkan dalam pelbagai saiz dan enjin. Terdapat juga pakej rumah rakit yang lengkap dengan bilik tidur, dapur serta bilik air.
Bagi saya, khidmat sebegini yang dicari-cari oleh kaki pancing kerana setelah seharian memancing, kita boleh berehat sambil menikmati keindahan Sungai Pahang yang terhidang di depan mata.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |