Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Norawazni Yusof
Title :Jadilah suara berani tolak rasuah - SPRM
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :02 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN – Semua kepimpinan Kerajaan Pahang diminta memperkukuh integriti dalam pentadbiran bagi memastikan tadbir urus bersih, cekap dan bebas rasuah. Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, integriti perlu dijadikan komponen wajib dalam semua dasar, projek dan keputusan pentadbiran. “Kepada pegawai-pegawai di agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), laksanakan tugas dengan amanah, elakkan konflik kepentingan dan pastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang serta garis panduan etika. “Perkukuh sistem audit, kawalan dalaman dan urus tadbir untuk mencegah risiko rasuah. Jadilah suara yang berani menolak budaya rasuah serta membudayakan nilai integriti dalam kehidupan seharian,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Tanjung Lumpur di sini pada Selasa. Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar. Mohd Shukor memberitahu, Pahang adalah antara rakan strategik dalam usaha membanteras rasuah dengan pendekatan tadbir urus yang semakin diperkukuh di peringkat negeri. Jelasnya, negeri itu menunjukkan komitmen tinggi dalam aspek tadbir urus khususnya melalui peluasan program pendidikan integriti di jabatan-jabatan negeri, pengukuhan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus, usaha menambah ketelusan dalam perolehan kerajaan serta sokongan berterusan kepada SPRM dalam aspek advokasi, pencegahan dan penguatkuasaan. “SPRM Pahang menghargai kerjasama erat ini dan kami percaya Pahang mampu menjadi negeri peneraju dalam pelaksanaan NACS di peringkat subnasional,” katanya. Menyentuh mengenai kerjasama SPRM dengan agensi di Pahang, Mohd Shukor berkata, kejayaan integriti memerlukan penyelarasan kukuh antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor perniagaan dan industri, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat. Beliau menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh program outreach, sesi libat urus dan latihan integriti. “Usaha advokasi juga akan dilakukan agar seluruh sektor di Pahang menjadi sebahagian daripada ekosistem pentadbiran yang bersih,” jelas beliau. Sementara itu, Nazri berkata pegawai kerajaan dan GLC perlu sentiasa menjadikan integriti sebagai kompas yang membimbing tindakan mereka. Menurutnya, sekiranya tiada integriti, pegawai mudah terdedah kepada amalan tidak sihat yang boleh merosakkan ekonomi, menghancurkan kepercayaan rakyat serta mencemarkan nama negara di peringkat antarabangsa. Tegasnya, mengamalkan integriti adalah cabaran besar pada zaman moden, namun ia tetap wajib menjadi pegangan utama dalam melaksanakan amanah. “Tiga aspek penting dalam amalan integriti iaitu kepimpinan tertinggi yang menjadi teladan, kesediaan berubah daripada budaya lama kepada budaya kerja lebih telus serta latihan berterusan supaya setiap warga kerja memahami maksud sebenar integriti,” katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035