Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Nurul Huda Husain
Title :UEC: Tiga persatuan bekas pelajar universiti terkemuka China nafi kenyataan Asyraf Wajdi
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :17 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SHAH ALAM – Tiga persatuan bekas pelajar universiti ternama di China menafikan dakwaan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan syarat kemasukan ke universiti-universiti tersebut. Menerusi satu kenyataan bersama, Persatuan Alumni Universiti Peking Malaysia, Persatuan Graduan Universiti Tsinghua Malaysia dan Alumni Universiti Shanghai Jiao Tong Malaysia berkata, kenyataan itu tidak menggambarkan secara tepat amalan kemasukan yang telah lama diamalkan oleh universiti-universiti di China, mahupun kriteria sebenar yang ditetapkan. “UEC telah lama diiktiraf oleh banyak universiti terkemuka di China dan kekal sebagai kelayakan penting untuk kemasukan pelajar Malaysia. Sejak bertahun-tahun lalu, sebilangan besar pelajar Malaysia telah diterima masuk ke universiti-universiti terkemuka di China berdasarkan keputusan UEC mereka. “Universiti Peking, sebagai contoh, telah mengiktiraf UEC sejak tahun 2009. Pada tahun tersebut, semua pelajar sarjana muda Malaysia yang diterima masuk ke Universiti Peking memohon berdasarkan keputusan UEC mereka. “Pada tahun-tahun berikutnya, jumlah pelajar Malaysia yang mendaftar di Universiti Peking terus meningkat, dengan sebahagian besar diterima masuk berdasarkan keputusan UEC mereka,” menurut kenyataan itu. Kenyataan tersebut menambah bahawa UEC bukan satu-satunya kelayakan yang diterima oleh universiti-universiti di China, kerana institusi pengajian tinggi di negara tersebut turut membuka ruang kepada pemohon yang memiliki kelayakan lain seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), A-Level dan sebagainya. Jelasnya, pelajar daripada latar belakang pendidikan berbeza boleh memohon berdasarkan kelayakan yang paling mencerminkan persediaan akademik dan keadaan individu mereka. “Persatuan-persatuan ini menegaskan bahawa UEC sebagai salah satu kelayakan yang diiktiraf untuk kemasukan ke universiti-universiti di China telah lama menjadi pilihan penting bagi pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian tinggi di China. “Kami mengalu-alukan semua pemohon yang layak, sama ada memohon berdasarkan UEC atau keputusan peperiksaan lain yang diiktiraf, untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti di China, meluaskan perspektif mereka, membangunkan diri dari segi akademik dan peribadi serta menyumbang kepada masyarakat selepas menamatkan pengajian,” menurut kenyataan itu lagi. Ketiga-tiga persatuan itu dalam masa sama turut berharap agar perbincangan awam mengenai pendidikan dan kemasukan ke universiti berasaskan maklumat yang lengkap dan tepat, supaya dapat mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan pilihan pelajar berkaitan pendidikan tinggi.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035