Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :HARIS FADILAH AHMAD
Title :‘Kasihan kami, tiga bulan baru ada satu pelancong’
Faculty :Kosmo
Year of Publication :30 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JERANTUT – Pekan bersejarah Kuala Tembeling berdekatan Jalan Jerantut – Lipis yang pernah menjadi persinggahan ramai pelancong luar dan tempatan sejak awal tahun 1980-an kini sepi bagaikan sebuah pekan mati. Tinjauan mendapati, kawasan tersebut bagaikan ‘pekan berhantu’ yang tiada pengunjung, malah kebanyakan premis berdekatan jeti pula ditutup sejak kira-kira 10 tahun lalu. Difahamkan, situasi ini berlaku sejak wujudnya kemudahan jalan darat dari Jerantut ke Kuala Tahan menyaksikan pengusaha dan pelancong memilih menggunakan kenderaan darat yang cuma mengambil masa kira-kira sejam perjalanan. Berbanding pengangkutan air menggunakan bot penambang dari jeti Kuala Tembeling ke Kuala Tahan, pelancong terpaksa mengambil masa hampir tiga jam untuk tiba ke pangkalan jeti Taman Negara. Pemandu bot pelancong Kuala Tembeling, Ahmad Tarmimi Ismail, 39, berkata, kekurangan pelancong bermula apabila kemudahan jalan darat menjadi pi­lihan sehingga menutup ‘periuk nasi’ sebilangan kecil pengusaha bot penambang di situ. “Cuma segelintir pelancong luar memilih bot penambang di pengkalan jeti Kuala Tembeling untuk perjalanan ke Kuala Tahan. Itupun bukan setiap hari, cuma dalam tempoh sebulan tiga kali sahaja. “Pelancong yang menaiki bot dikenakan tambang antara RM80 hingga RM85 perjalanan ke Kuala Tahan dan difahamkan kadar yang sama juga bagi menaiki kenderaan darat dari Terminal Bandar Jerantut,” katanya.   Menurut Ahmad Tarmimi, sejak beberapa tahun lalu sehingga kini, tidak ada seorang pun pelancong luar yang singgah di jeti Kuala Tembeling menyebabkan keadaan amat sepi. Seorang penduduk Kuala Tembeling, Mohd Khairul Helmi Jusman, 40, berkata, senario berlaku disebabkan pengusaha pelancongan lebih suka memilih jalan darat ke Kuala Tahan kerana jarak perjalanan yang singkat. Katanya, kurangnya pendedahan maklumat dan promosi kepada pelancong mengenai keistimewaan Kuala Tembeling yang terletak berdekatan persimpangan Sungai Jelai dan Sungai Tembeling dan bercantum dengan Sungai Pahang menjadi faktor kawasan itu semakin sepi. “Kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berwajib mengenai pelancongan perlu mengambil langkah segera supaya tempat ini kembali dikunjungi pelancong luar dan kita akan teruja nanti apabila melihat ramai wajah ‘Mat Saleh’ singgah untuk menaiki bot di jeti di situ.   “Pekan Kuala Tembeling yang mempunyai rentetan sejarah sejak sebelum merdeka merupakan hentian bot penambang bagi penduduk Ulu Tembeling untuk ke bandar Jerantut malahan sejarah membuktikan sejak 300 tahun lalu tempat ini pernah disinggahi oleh pedagang Sumatera, Acheh dan Cina ketika berdagang ke Ulu Tembeling dan Lipis menyusur laluan Sungai Jelai,”ujarnya.      
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035