Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :GHAZALI ALIAS
Title :Jelajah Pantai Timur dengan kereta api
Faculty :Kosmo
Year of Publication :27 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
BERCUTI menggunakan pengangkutan awam merupakan antara aktiviti yang boleh dilakukan di negara ini. Konsep cuti berkenaan juga memberi peluang kepada pelancong untuk berkunjung ke lokasi-lokasi menarik di sepanjang perjalanan. Berkongsi destinasi menarik ketika bercuti menaiki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ke Pantai Timur, pasangan suami isteri, Hazwani Razak dan Mahadi Nordin menjelajah beberapa lokasi menarik dengan cara agak berbeza. Katanya, mereka memilih menaiki kereta api kerana lebih jimat dan memberi pengalaman unik. “Perjalanan kami bermula dari Stesen KL Sentral di ibu negara, di mana kami menaiki Electric Train Service (ETS) ke Gemas, Negeri Sembilan. “Di sana, kami menginap selama satu malam untuk berehat sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Kuala Lipis (Pahang). “Setibanya di Kuala Lipis, kami menginap selama tiga hari dua malam di sebuah hotel bajet yang selesa. “Kami meluangkan masa berjalan-jalan menelusuri bandar lama Kuala Lipis yang penuh dengan sejarah dan suasana klasik,” kata Hazwani. Tambahnya, antara tempat menarik di Kuala Lipis adalah Stesen Kereta Api Lama Kuala Lipis yang dibina ketika era pemerintahan British pada tahun 1921. “Kemudian, kami berjalan kaki dari stesen ke pekan lama bagi menikmati lukisan mural yang menarik di dinding bangunan sekitar. “Kami sempat singgah di Masjid Negeri Lama Kuala Lipis (Madrasatul Firdaus) yang dibina pada tahun 1888 oleh seorang saudagar Yemen, Habib Hasan dan beberapa gerai makan,” ujarnya. Selepas Kuala Lipis, mereka menaiki kereta api menuju ke Gua Musang, Kelantan dan menginap selama dua hari satu malam di sana. Walaupun ringkas, namun kunjungan ke Gua Musang cukup memuaskan hati mereka kerana dikelilingi suasana hijau semula jadi dan bukit-bukit batu kapur. Antara lokasi menarik yang boleh dilawati di Gua Musang adalah Masjid Tengku Razaleigh iaitu sebuah masjid yang tersergam indah dengan seni bina klasik Asia Barat. “Dari Gua Musang, kami meneruskan perjalanan ke Wakaf Bharu, sebelum menaiki perkhidmatan e-hailing ke hotel penginapan di Kota Bharu. “Di sini, kami melawat pelbagai lokasi menarik yang memperlihatkan keunikan budaya dan sejarah negeri Cik Siti Wan Kembang ini,” ujarnya. Kongsinya lagi, antara lokasi menarik yang boleh dilawati di Kota Bharu adalah Pasar Siti Khadijah, Pasar Wakaf Che Yeh, Memorial Perang (Bank Kerapu) dan Jambatan Diraja yang terletak di tebing Sungai Kelantan.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035