|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Isu tanah kembali panas di negeri ini apabila Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mula mengambil tindakan tegas dengan menebang pokok-pokok musang king yang ditanam secara haram di tanah kerajaan.
Tindakan penguatkuasaan itu mendapat tentangan daripada pekebun-pekebun musang king yang mendakwa mempunyai hak diikuti tindakan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang mahu penguatkusaan diteruskan terhadap pencerobohan tanah kerajaan di negeri ini.
Susulan itu juga isu pencerobohan tanah mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang murka dan menyifatkan suatu tragis dan menyakitkan apabila 14,494.908 hektar tanah kerajaan negeri diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Lebih malang titah baginda, sebanyak 5.997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga diceroboh kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.
Baginda yang berhasrat menoktahkan kemelut pencerobohan tanah ini menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan, memotong pokok-pokok ditanam secara haram dan juga menutup lombong dibuka tanpa rasa malu dan takut.
Sehubungan itu juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mencabar ketegasan pentadbiran negeri dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan.
Bagi mengupas isu ini Wartawan Kosmo! Ahad ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN menemubual Pensyarah Undang-Undang merangkap Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) Azriana Ridouan.
KOSMO! AHAD: Apakah sebenarnya maksud pencerobohan dalam konteks ini?AZRIANA: Apabila kita bercakap soal pencerobohan, bermakna seseorang masuk ke tanah kita secara fizikal tanpa kebenaran dan tanpa justifikasi perundangan. Jadi, perkara ini memang ditegah dari segi perundangan, sebabnya hartanah kita adalah hak milik eksklusif kita, orang luar tidak boleh masuk melainkan mendapat keizinan.
Bila ada orang masuk ke dalam kawasan hartanah kita hatta rumah sekali pun tanpa kebenaran walaupun dia adalah saudara mara kita, itu dikira menceroboh.
Contohnya, bila orang datang dan dia beri salam, kita buka pintu bermakna kita membenarkan dia masuk ke dalam premis, tetapi kalau kita tidak benarkan dan tidak menjawab salam, kita tidak membuka pintu, jadi dia tidak boleh masuk.
Jika dia masuk tanpa kebenaran dan membuka pintu pagar, walaupun tidak melakukan apa-apa kerosakan itu dikira pencerobohan walau saudara mara sekali pun.
Pencerobohan tanah kalau mengikut ‘Law of England’, memasuki tanah milik atau premis orang tanpa kebenaran, premis atau pun harta, senang kita cakap tanah.
Definisinya memang ada dalam Kanun Tanah Negara (KTN) di bawah Seksyen 5 iaitu apa yang ada di atas tanah, bawah tanah, dalam tanah atau pun hatta kita beli Tasik Kenyir itu pun jadi hak milik kita.
Bolehkan kes penceroboh dibawa ke mahkamah ?Apabila seseorang masuk ke dalam premis tanpa kebenaran walaupun tiada kerosakan dilakukan, mahkamah akan mengandaikan berlaku pencerobohan sebab kes pencerobohan ini adalah ‘actionable per se’.
Ini bermaksud apabila kes difailkan di mahkamah, pemilik premis atau tanah tidak perlu buktikan kerosakan nyata sebab menceroboh premis adalah ‘actionable per se’ kerana hakim melihat berlaku kerosakan nyata.
Contohnya, apabila ada orang menanam pokok atau pun tebang pokok atas tanah kita tanpa kebenaran, memang hakim akan andaikan kita sudah mengalami kerosakan nyata.
Jadi kita sebagai pemilik tanah tidak perlu buktikan kerosakan dan kita akan mendapat ganti rugi, cuma hakim akan tentukan jumlahnya.
Bagaimana hendak dibuktikan berlaku pencerobohan?Dalam kes sivil, saya merujuk kepada buku ‘Law of Tort In Malaysia’ oleh Norchaya Talib, pemilik tanah hendaklah buktikan, pertama penceroboh itu mempunyai niat menceroboh secara sengaja.
Dalam kes tanah di Raub, dia (penceroboh) dapat kebenaran atau tidak daripada kerajaan negeri untuk menanam durian? Kita hendak tahu yang itu. Ada atau tidak geran pajakan yang dipohon?
Niat ceroboh sengaja itu macam mana kita hendak tahu ada niat? Tindakan masuk ke tanah kerajaan, dia tidak memohon apa-apa kebenaran, selepas tu menanam tanaman, ada dapat kebenaran atau tidak daripada kerajaan? Jadi dekat situ sudah ada niat menceroboh secara sengaja.
Yang kedua, pencerobohan itu memang dilakukan oleh pihak defendan dan dalam kes tanah Raub itu, siapa yang menceroboh tanah tersebut, siapa yang menanam tanaman di atas tanah itu. Maksudnya siapa pemilik tanaman atas tanah kerajaan yang diceroboh.
Bagaimana hendak buktikan defendan menceroboh?Dalam kita membuktikan bahawa defendan telah menceroboh ada banyak cara.
Yang pertama memasuki (masuk kawasan tanah kerajaan) kedua letak barang atas tanah.
Selepas itu berada di atas tanah termasuk menanam pokok durian bertahun-tahun lama tanpa kebenaran itu pun dah dikira berada di atas tanah kerajaan.
Bolehkan penceroboh mendakwa tanah miliknya sebab dibuka nenek moyang mereka?Seksyen 40 dalam (KTN menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan sudah memberi kuasa kepada negeri berkenaan tanah.
Jadi negeri ada hak autoriti dan Seksyen 40 ini sudah eksklusif bahawa tanah di dalam satu negeri adalah hak milik kerajaan negeri.
Dalam perlembagaan pula Senarai Negeri dan Senarai Persekutuan sudah membahagikan bidang kuasa negeri dan bidang kuasa Persekutuan.
Jadi autoriti ini yang membenarkan negeri mengambil tindakan terhadap penceroboh ini adalah di bawah Perlembagaan dan kedua di bawah Seksyen 40 KTN itu sendiri.
Isunya ialah boleh atau tidak kerajaan melucuthak jentera, pokok-pokok itu ditebang? Memang boleh dilakukan di bawah Seksyen 426 (C) KTN.
Sebagai rakyat kalau tahu tanah itu kosong sepatutnya kena membuat permohonan, kalau tidak dapat memang tidak boleh boleh sesuka hati menanam dan sebagainya.
Bagaimana situasi di Raub bolehkah tindakan diambil?Bila kita tengok situasi yang berlaku dekat tanah di Raub itu, kita dapati ia dianggap sebagai ‘unlawfull occupation’, maknanya mereka memasuki tanah tanpa kebenaran kerajaan negeri tanpa ada justifikasi undang-undang, bermakna tanpa ada kebenaran menyatakan bahawa kamu boleh tanam sini, tidak ada.
Jadi bila kita kata ‘unlawfull occupation’ sudah tentu kerajaan akan menggunakan kuasa dibawah Seksyen 40 KTN dan juga Seksyen 425 KTN bila didapati dia telah memasuki tanah kerajaan.
Jika dibuktikan bersalah akan dikenakan denda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.
Bolehkah penceroboh menuntut ganti rugi?Memang tidak boleh di bawah Seksyen 426 D KTN iaitu ‘no costs or damage arising from seizure to be recoverable’ (tdak boleh menuntut ganti rugi terhadap apa-apa yang ditanam di atas tanah tanpa kebenaran pemilik.
KTN yang kita amalkan di Malaysia adalah berdasarkan ‘torrens system’ yang diterima pakai di Australia, sebab itulah orang yang menceroboh tidak boleh tuntut apa-apa sebab ‘torrens system’ tidak membenarkan.
Kalau dibawa ke mahkamah pun, pertama pemilikan tidak ada, kebenaran kerajaan negeri tidak ada. Kerajaan negeri bertindak berdasarkan kuasa yang ada dalam KTN, autoritinya adalah Seksyen 40 KTN sebab itu tanah kerajaan negeri.
Mengikut perundangan bolehkan tanaman dimusnahkan?Secara moralnya, memang ‘sayang’ tengok pokok durian ditebang, macam-macam jenis durian, sedang berbuah pulak tu. Mungkin kita akan fikir kerajaan tak bertimbang rasa.
Hakikatnya bila menceroboh tanah kerajaan negeri, memang ada kuasa dari segi undang-undang untuk menebang, Sebab sudah ceroboh tanah orang, dalam kes ini, tanah kerajaan. Persoalannya cukai tanah dibayar atau tidak?
Kerajaan tidak mendapat hasil apa-apa dari pencerobohan itu. Kalau kita tuan tanah mesti kita marah. Jadi tindakan kerajaan negeri menebang pokok-pokok itu adalah mengikut peruntukan dalam KTN dan konsep ini selari dengan undang-undang Islam.
Apakah pandangan Islam dalam isu pencerobohan?Konsep yang diambil memang daripada Islam, Islam pun tidak membenarkan pencerobohan, kita panggil sini ‘Ta’addi intihak al-Ghayr’ (pencerobohan untuk menggunakan tempat orang lain, dilakukan dengan menceroboh masuk tanah milik orang tanpa kebenaran pemiliknya atau tanpa kebenaran pihak berkuasa).
Konsepnya berdasarkan ayat al Quran surah An-Nur ayat 27. Dalam ayat ini Allah berfirman yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan sopan itu).”
Kaedah fiqh yang digunakan menyatakan, kita tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis tanpa kebenaran pemilik itu. Jadi konsep ini memang sudah ada di dalam Islam dan apa yang ada dalam KTN menepati konsep Islam sebenar.
Bolehkah pokok yang ditanam ditebang berdasarkan pandangan Islam?Boleh, sebab pernah berlaku pada zaman Rasulullah sepohon kurma milik seseorang tumbuh atas tanah milik orang lain.
Pemilik tanah berasa tidak senang hati hati apabila tuan punya pokok kurma sentiasa memasuki tanahnya untuk mendapatkan kurma.
Pemilik tanah mengadu kepada Rasulullah. Baginda meminta pemilik pokok itu menjual pokok itu kepada tuan tanah, namun dia enggan.
Baginda meminta pemilik pokok memindah pokok kurma, sekali lagi dia enggan berbuat demikian. Baginda kemudian meminta dia sedekahkan pokok kurma, dia enggan. Rasulullah SAW bersabda: Engkau pelaku kemudaratan, pergi (wahai tuan tanah)cabut pokok kurma itu.
Menurut Imam Ibn Abi Zayd dan al-Qurtubiyy, perampas tanah diminta supaya meruntuhkan bangunan atau mencabut tumbuhan dan pokok yang dia telah bina dan tanam di atas tanah yang dirampas.
Islam sangat menjaga keharmonian sejagat, tindakan pencerobohan merupakan satu pelanggaran hak individu atau negara.
Islam juga melarang umatnya membuat kerosakan di muka bumi. Kerosakan yang manusia buat akan menyebabkan kemusnahan harta seperti tanah runtuh dan banjir.
Kesimpulannya wajarkan isu ini ditangani dengan tegas oleh kerajaan negeri?Dari segi Islam dan undang-undang sedia ada, ia selari. Islam memang membenarkan (tindakan diambil) sebab hak tuan tanah terhadap tanah itu.
Jadi, apa yg dilaksanakan kerajaan negeri dengan menebang pokok-pokok, sita barang atau jentera yang ada di atas tanah tu, termaktub dalam KTN.
Kuasa di bawah kerajaan negeri dalam Seksyen 40 KTN, selepas itu tindakan di bawah Seksyen 425 KTN.
Bila didapati ada ‘unlawfull occupation’, seksyen 426 KTN membenarkan sitaan ke atas apa-apa yang ada di tanah itu.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |