|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BEBAS meneroka setiap pelosok daratan menjadi pendorong kepada para pengembara untuk menggunakan kenderaan jenis kembara bagi merealisasikan percutian impian.
Lazimnya, apabila berbicara tentang kenderaan jenis kembara, penggunaan kenderaan rekreasi (recreational vehicle) atau RV seperti camper van, caravan atau motorhome sering menjadi pilihan, namun terdapat juga sesetengah orang yang mempunyai kecenderungan melakukan modifikasi kepada kenderaan biasa untuk tujuan sama.
Mereka ini akan melakukan penambahbaikan atau ubah suai kenderaan mengikut kesesuaian agar dapat dijadikan ‘tempat inap’ atau ‘rumah bergerak’ yang mampu menjadi tempat berteduh di mana sahaja.
Tidak terkecuali pempengaruh media sosial, Mohd. Asri Mohd. Nawawi yang sering mengembara ke pelbagai destinasi menarik menggunakan kereta dan van mini yang diubah suai.
Sebelum ini, dia menggunakan kenderaan jenis Perodua Kancil, namun kini dia melakukan pengembaraan dengan van mini jenis Daihatsu Hijet.
Katanya, keinginan untuk mengembara cara sebegitu adalah sebagai satu usaha penjimatan kerana pengembaraan tentu saja memerlukan belanja yang banyak.
Selain kos perjalanan, tempat makan dan penginapan juga perlu diambil kira. Justeru, kaedah ‘rumah bergerak’ ini menjadi antara solusi terbaik buat Asri.
“Sebenarnya saya memang sudah lama menyimpan hasrat melakukan aktiviti kembara begini. Disebabkan terikat dengan pekerjaan tetap, keinginan itu terpaksa ditangguh sehinggalah saya membuat keputusan untuk bekerja sendiri.
“Setelah bersedia mengurangkan kos sara hidup dan ada banyak masa terluang, saya nekad jayakan misi dan alhamdulillah terlaksana sekitar tujuh tahun lalu.
“Setelah dua tahun menggunakan Kancil, saya beralih kepada van mini. Sekarang saya sangat seronok bila dapat ‘berjalan-jalan’ dengan van mini,” katanya kepada CitaRasa.
Mengubah suai van mininya menjadi camper van, Asri membuktikan bahawa saiz kenderaan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dijadikan camper van yang lengkap.
Untuk ubah suai tersebut, dia banyak mengambil inspirasi daripada camper van dari luar negara yang lebih kemas dan praktikal.
Van mininya itu kini dipenuhi kelengkapan seperti kabinet untuk memasak, meja pelbagai guna selain ditambah khemah atas bumbung.
Van itu juga dilengkapi periuk nasi mini, dapur gas, peti ais mini dan khemah mandi.
“Bila semua keperluan sudah lengkap, dekat sini saja sudah boleh berjimat. Saya boleh mengembara ke mana saja dan menginap di tempat bersesuaian tanpa perlu risau penginapan.
“Bagi menggunakan barangan elektrik dalam van, saya mendapat bekalan tenaga dari stesen tenaga mudah alih Bluetti AC 200 P dengan kapasiti bateri 2,000 watt yang juga boleh dijana kuasa dengan panel solar,” katanya.
Asri menyifatkan ‘camper van’ miliknya yang dinamakan Oyen itu ‘lengkap sepenuhnya’ kecuali kemudahan tandas mudah alih.
“Bahagian atas van dijadikan tempat tidur dengan menggunakan khemah atas bumbung (roof to tent),” katanya.
Menurutnya, pada awal pengubahsuaian, dia menggunakan duit simpanannya. Namun, setelah siap camper van, sebagai content creator, dia mendapat kelebihan dengan menerima pelbagai barangan dan tajaan kos.
Ceritanya, van mininya itu bukan sahaja sudah mengembara di dalam Malaysia, tetapi turut menjelajah bumi Thailand apabila dia mengadakan trip ke Bangkok dua tahun lalu.
“Pengalaman pengembaraan ke Bangkok menjadi antara memori yang tidak dapat dilupakan. Saya menempuh perjalanan panjang selama 35 hari dengan van mini gaya perkhemahan. Bermula dari Malaysia, saya tidur di tempat berbeza setiap hari untuk sampai ke Bangkok.
“Sejujurnya setiap destinasi itu memberikan pengalaman berbeza dan keseronokan kerana belanja lebih murah dan kehidupan lebih santai serta sederhana. Tak perlu berbelanja mewah atau tidur di hotel lima bintang untuk selesa. Ini saja sudah memadai,” katanya yang menetap di utara tanah air.
Beralih kepada pasangan suami isteri, Fajar Siddiq, 40, dan Noor Asyikin, 36, yang telah menceburi aktiviti kembara sejak beberapa tahun lalu. Bekerja sendiri sebagai pereka grafik, pasangan Singapura-Malaysia itu menjadikan kereta jenis Perodua Axia sebagai ‘rumah jalanan’ mereka.
“Syukur kami berdua mempunyai minat sama iaitu suka roadtrip. Disebabkan kerja secara remote, ia beri kelebihan untuk bekerja di mana-mana termasuk ke tempat alam semula jadi.
“Awalnya kami merancang untuk membeli motorhome, tetapi disebabkan kos penjagaan yang tinggi, kami terpaksa ubah keinginan kepada sesuatu yang lebih menarik.
“Pada Ogos 2023, bermulanya kisah kami mengubah suai Axia dengan memasang khemah atas bumbung dan sebaik saja selesai proses pemasangan selama dua jam, kami terus ‘merasmikan’ khemah itu dengan melakukan perkhemahan di tapak perkhemahan di Janda Baik, Pahang.
“Itulah pengalaman pertama kali tidur dalam khemah dan apabila buka sahaja pintu khemah pada waktu pagi, suasana pagi dengan udara segar dan bunyi burung sangat mendamaikan. Sejak itu juga ramai yang bertanyakan kepada kami tentang pemasangan khemah ini dan mula menjadi trend pada masa sekarang,” ujarnya.
Kongsi Siddiq, terdapat beberapa ciri-ciri penting yang diambil kira sebelum sesebuah lokasi itu dijadikan sebagai tapak perkhemahan. Antara yang perlu diberi perhatian ialah ulasan pengguna.
“Pilihan lokasi pula perlu bersih dan dilengkapi surau atau masjid yang berdekatan. Selain itu terdapat fasiliti stesen minyak, kedai runcit, akses air bersih, sumber tenaga (powerpoint) dan selamat untuk bermalam.
“Berkhemah menggunakan khemah atas bumbung ini agak selamat berbanding khemah yang dipasang di atas tanah terutama ketika angin kuat. Pemasangan khemah di tempat tinggi ini juga boleh mengelakkan daripada gangguan binatang seperti babi hutan atau risiko khemah melayang kerana ribut kencang,” katanya.
Selain memastikan pilihan lokasi terbaik, pasangan ini juga sentiasa memastikan setiap barangan keperluan dan kereta sentiasa dalam keadaan baik.
“Selalunya sebelum memulakan perjalanan, kami akan memastikan keperluan lengkap seperti bantal, ubat nyamuk, plastik sampah, lampu, kipas, meja dan kerusi lipat serta power station (30kw kuasa solar). Kami juga memastikan keadaan khemah atas bumbung tidak longgar kerana bimbang akan terbuka semasa kereta sedang bergerak.
“Biarpun dilihat banyak kelebihan, namun cuaca panas juga menjadi cabaran kerana dalam khemah akan terasa bahang dan tidak selesa. Oleh itu kami perlu mencari tempat yang redup berhampiran pokok,” katanya.
Menurutnya, dianggarkan kos ubah suai menelan belanja kira-kira RM4,600 mencakupi roof rack (dua batang), awning (saiz lima meter) dan khemah,” ujarnya.
Sementara itu, bagi seorang lagi penggemar van kembara iaitu Azmi Seman, 50, aktiviti perkhemahan mula diminati selepas pandemik Covid-19 untuk mendapatkan kedamaian dengan mendekatkan diri kepada alam.
“Kenderaan yang saya gunakan jenis karavan yang ditempah dari Jepun, jadi ubah suai itu sangat minimum melainkan perlu menambah beberapa keperluan lain seperti khemah atas bumbung dan awning. Boleh dikatakan kos tidak terlalu mahal dan masih pada tahap mampu milik.
“Saya pilih kenderaan ini kerana mudah untuk membawa keluarga seramai lima orang. Van pula lengkap dengan keperluan katil yang membolehkan tiga orang untuk tidur sementara khemah atas bumbung pula menempatkan dua orang. Segalanya sangat selesa kerana keperluan seperti dapur, kabinet dapur, tandas dan katil sudah tersedia dalam van. Bagi katil dan meja pula boleh dipasang dan ditukar mengikut keperluan fungsi,” katanya.
Tambah Azmi, aktiviti kembara dengan van ini bukan saja dapat memudah perjalanan dan menjimatkan belanja daripada menginap di hotel, tetapi boleh mengeratkan hubungan sesama keluarga
“Bagi saya setiap kali melihat isteri dan anak-anak gembira, itulah pengalaman terindah. Asalkan dapat habiskan masa bersama, bagi saya semua itu sudah cukup,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |