Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :ABU BAKAR ALI
Title :Santai di Jeram Perahu
Faculty :Kosmo
Year of Publication :24 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
Sembilan orang peserta bersama tiga orang tekong dengan tiga bot kayu panjang melengkapkan misi ini. Kami berlepas dari pangkalan di Kampung Mat Daling di daerah Jerantut, Pahang dalam pukul 9.30 pagi dengan penuh harapan untuk memancing ikan-ikan hebat sungai pergunungan. Dalam perjalanan, kami sempat singgah untuk memetik pucuk paku yang bakal dijadikan lauk dalam trip ini. Perjalanan diteruskan sehingga kami tiba di sebuah air terjun untuk berehat, makan tengah hari dan mandi manda. Perjalanan bersambung dan tekong sempat menjala ikan-ikan kecil yang bakal dijadikan umpan di satu teluk. Kami tiba di tapak perkhemahan hampir pukul 3 petang. Kami memasang khemah, me­­nyusun atur tempat tidur, memasang dan memperkemas dapur dan terakhir memasang set memancing kerana masing-masing sudah tidak sabar untuk meneroka kawasan Jeram Perahu ini. Geng-geng muda sibuk keluar mengilat, manakala saya pula sibuk menyiapkan menu makan malam berupa pucuk paku masak lemak cili api, ikan masin goreng serta sambal kentang ikan bilis. Malamnya saya hanya berehat, tetapi geng muda memenuhi tebing sungai memancing dasar bertemankan unggun api dari kayu-kayu yang terdampar tepi sungai. Apabila saya bangun keesokan paginya,saya lihat beberapa spesies ikan yang berjaya mereka dapat, antaranya ikan merah mata, lampam dan baung. Hari keduaSelepas sarapan, masing-masing bergerak secara kumpulan. Ada yang naik ke hulu dan ada yang turun ke hilir. Paling penting, mereka tidak memancing bersendirian kerana jika berlaku sesuatu kecelakaan, sahabat yang lain dalam kumpulan dapat bertindak pantas untuk pertolongan.   Selepas semua keluar menuju ke lokasi pancingan pilihan ma­­sing-masing, saya menuju ke satu jeram berbatu yang menjadi pilihan saya untuk melabuhkan umpan. Lokasi ini tidak jauh dari khemah kerana saya masih lagi dapat melihatnya dan memudahkan saya balik untuk memasak. Matahari mula meninggi, hasil pancing dasar dan mengilat kosong. Saya balik ke khemah memasak nasi birab iaitu gabungan nasi beriani dan nasi Arab kambing. Tidak lama kemudian geng yang pergi ke lokasi jauh pulang dengan hasil dua ekor sebarau sahaja. Perut masing-masing sudah lapar dek kepenatan, makanan pula kira mewah jikalau di dalam hutan belantara ini membuatkan semua puas. Cuaca pula panas menyengat ditambah lagi dengan kekenyangan melampau menyebabkan kami hanya berehat sambil bersembang dan ada yang tidur di dalam khemah sahaja. Sehingga selepas asar apabila cuaca menjadi agak redup barulah aktiviti pancingan diteruskan semula sehinggalah ke malam hari. Hari ketigaSelepas sarapan, kumpulan semalam mengulangi semula mengilat di tempat semalam bagi membalas dendam. Kali ini gewang minnow berwarna hijau kuning milik Ijal terkangkang dikekah kelah yang telah berjaya meloloskan diri sebaik sahaja hampir tiba di tepi gigi air. Walaupun kecewa dengan keja­dian tersebut, Ijal tidak berputus asa dan mencuba lagi, akhirnya seekor sebarau tewas dengan lenggokan gewang minnow sama yang telah diganti mata tiganya kepada yang lebih kuat. Selang 25 minit kemudian, Tengku Ariff pula mendapat sambaran seekor sebarau kira-kira 50 meter di belakang Ijal. Selepas itu mereka pulang ke khemah untuk makan dan berehat. Pada pukul 3 petang, saya bersama Abuya menaiki bot Atan turun ke hilir kira-kira satu kilometer dari khemah untuk memancing di tempat Abuya mendapat baby kelah hari sebelumnya. Sehingga lewat petang hanya tiga ekor ikan kedaruk yang dapat dipancing. Walaupun bermacam jenis umpan dicuba seperti sawit peram, cengkerik dan cacing tanah, semuanya tidak berjaya menggoda ikan. Itulah adat memancing, kadangkala sukses dan kadangkala gagal, biarpun kita sedang berada di lokasi terbaik dan sudah lengkap dengan segala persiapan dan umpan. Sedangkan dua tahun lepas saya bersama kumpulan lain, banyak dapat ikan di tempat yang sama, sehinggakan labi-labi pun boleh termakan umpan pancing. Di hari terakhir, selepas sarapan kami berkemas dan bersiap untuk pulang. Pukul 9.30 pagi, bot mula bergerak dan kami sampai di pangkalan dengan selamatnya tepat pukul 1.30 petang.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035