Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :ALANI NIZAM, ARINA MOHD. NOOR dan MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Title :Penuntut IPT ‘berlumba-lumba’ balik kampung awal
Faculty :Kosmo
Year of Publication :28 Mac 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR – Sebahagian warga kota memilih untuk pulang ke kampung halaman lebih awal sempena Aidilfitri kerana diberi cuti pengajian lebih panjang dan mahu elak terperangkap kesesakan jalan raya. Tinjauan Kosmo! di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan di sini semalam mendapati rata-rata penuntut institusi pengajian tinggi sudah diberi cuti awal untuk kembali ke kampung halaman. Seorang pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Muhammad Abid Nabil, 20, melahirkan kete­rujaan untuk pulang ke kampung bagi merai perayaan bersama keluarga lebih awal berbanding warga kota yang lain. “IPG memberikan cuti selama seminggu, jadi saya memilih untuk pulang hari ini (semalam) lebih awal kerana terlalu teruja dan tidak sabar untuk berjumpa keluarga di Kulai, Johor.“Saya akan kembali ke IPG pada 2 April nanti,” katanya. Dalam pada itu, seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bangi, Muhammad Anwar Hazim Muhammad Fuzi, 20, berkata dia akan pulang ke Batu Pahat, Johor bagi membantu keluarganya membuat persiapan menjelang hari raya. “Memang seronok dapat pulang beraya, lebih-lebih lagi kerana dapat bertemu keluarga serta sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa,” katanya yang merupakan pelajar jurusan Pe­ngurusan Perniagaan. Pelajar kejuruteraan awam di Politeknik Shah Alam, Rabiah Amalina, 20, berkata, dia teruja untuk pulang beraya di Manjung, Perak, kerana ingin membuat kuih raya bersama ibunya yang menjadi tradisi keluarga saban tahun.   “Teruja nak balik rumah sebab setiap tahun akan buat kuih raya almond london dengan mak saya, jadi tahun ini pun sama,” ujarnya. Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mastura, 44, berkata, dia tiba di terminal pukul 8 pagi bersama anaknya dan mahu pulang beraya selama se­minggu ke kampung di Kuantan, Pahang. Katanya, dia mahu memanfaatkan cuti panjang dengan keluarga selepas empat bulan tidak pulang menziarahi mereka. Sementara itu di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam, Selangor pula, terminal itu mula sesak dengan penumpang sejak pukul 7 petang untuk pulang ke kampung dengan baki lima hari lagi sebelum perayaan. Seorang perantau, Muhammad Khairul Basir Alias, 28, berkata, dia pulang awal bagi menyambut Syawal bagi melepaskan kerinduan selepas enam bulan tidak menemui isteri­nya di Machang, Kelantan. Katanya, ini disebabkan ke­sibukannya dalam menguruskan perniagaan di Lembah Klang. “Memang tidak sabar pulang ke kampung berjumpa isteri tambahan belum beli sebarang persiapan raya lagi. “Insya-Allah, akan berada di Machang selama dua minggu bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. Bagi operator kilang, Noor Hafizah Zainal, 30, berkata, dia pulang awal ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah ke­rana perlu bekerja semula Khamis depan. Tambahnya, perkara pertama yang akan dilakukan adalah untuk membeli kelengkapan Aidilfitri di Kompleks Pekan Rabu. “Tahun ini sambut Aidilfitri secara bersederhana, namun perasaan beraya bersama-sama keluarga itu yang paling penting,” jelasnya.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035