Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :ABU BAKAR ALI
Title :Pancing kelah Sungai Sepia
Faculty :Kosmo
Year of Publication :27 Mac 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
Lebih 15 tahun saya merancang untuk memancing di Sungai Sepia di Taman Negara Pahang ini, namun kekangan masa menyebabkan ia tidak tercapai, sehinggalah pada pertengahan tahun lepas barulah impian itu tertunai. Kumpulan kami yang terdiri daripada pemancing muda dan pencen ini tiba pada pukul 9 pagi di jeti bot yang berpengkalan di Kuala Sat, Kuala Tahan, Pahang. Selesai memuatkan barangan ke dalam bot kayu panjang, kami mula bergerak ke destinasi. Selepas dua jam perjalanan, kami tiba di jeram berbatu. Kami dikehendaki turun dari bot dan menapak di tebing untuk ke tempat yang dalam melepasi jeram barulah kami boleh menaiki semula bot. Sementara itu, tekong tetap di atas bot bagi mengendalikan bot melepasi jeram. Lebih kurang setengah jam kemudian, kami tiba di satu jeram yang deras dan mencanak tinggi batu-batunya untuk bot melepasinya. Kali ini, semua barangan terpaksa diturunkan dan dipikul beramai-ramai melepasi jeram. Selepas selesai mengangkut barangan untuk dipindahkan ke tempat yang selamat, tiba pula giliran kami bergotong-royong untuk menarik dan menolak bot bagi melepasi jeram tersebut pula. Ini semua sebagai langkah-langkah keselamatan apabila naik ke hulu sungai pergunungan dan inilah cabaran serta jerih perih yang harus diharungi. Selesai tiga buah bot melepasi jeram, kami berehat sambil menikmati makanan yang dibungkus siap-siap dari di Kuala Tahan pada sebelah pagi serta mengambil kesempatan untuk mandi dan solat.   Pada pukul 3 petang, kami bergerak semula dan tiba di kawasan perkhemahan yang dikenali sebagai Lubuk Gajah Tunggal. Selepas siap gotong-royong memasang khemah utama, masing-masing mula memasang peralatan pancing. Usiajelas mempengaruhi, saya hanya berehat di sepanjang malam, manakala rakan-rakan yang lain memancing di hadapan tapak perkhemahan. Hari kedua Selepas sarapan pagi, saya berjalan kaki kira-kira 100 meter dari tapak perkhemahan dan mula memancing di sekitar kawasan pokok balak tumbang dengan hanya berumpankan sawit peram sahaja. Lama juga saya menunggu, namun tiada sebarang ragutan yang mampu menggoncangkan loceng penggera joran. Kawasan sekeliling seperti rumahnya cacing tanah, puas menggali dapatlah sedikit stok sebagai umpan alternatif. Namun, sehingga tengah hari dengan umpan sawit peram berserta cacing tanah tidak berhasil menggoda sebarang ikan. Lebih empat jam menunggu tanpa sebarang ikan, akhirnya saya pulang ke khemah dan berehat. Sesi petang itu, saya hanya melontarkan umpan ke lubuk yang jaraknya kira-kira 20 kaki berhadapan khemah sambil bersantai bersama rakan-rakan lain. Sementara itu, sebahagian daripada kami telah meninggalkan tapak perkhemahan bersama-sama peralatan pancing, khemah, dapur dan makanan untuk mudik ke hulu lagi dengan berkampung selama dua malam di sana. Hari ketiga dan keempat Hari ketiga tiada apa-apa yang menarik berlaku di tapak perkhemahan utama. Di hari keempat, kumpulan yang ke hulu pulang dengan hasil yang membanggakan. Diberitakan banyak ikan kelah dan sebarau yang diperoleh secara mengilat dan pancingan dasar. Sebahagian daripada kelah dan sebarau yang diperolehi di hulu dijadikan santapan kami semua. Satu persoalan yang singgah di fikiran saya adalah siapa kata kelah tidak makan umpan kalau dalam keadaan bising dan bot lalu-lalang dengan kocakan kipas bot? Kalau sudah rezeki seperti mana yang terjadi kepada Khaidir, apabila umpannya dirembat kelah sejurus bot parkir bersebelahan dengan pancingnya. Hasilnya, seekor kelah seberat kira-kira 1.3 kilogram. Hari kelima dan keenam Majoriti daripada kami cuma melayan pancingan dasar di hadapan khemah. Teknik pancingan secara dasar di sini adalah menggunakan tali utama tangsi (mono) berkekuatan antara 15 hingga 25 paun (lb) dan batu ladung jenis hidup yang berbentuk seperti buah kana akan dimasukkan ke dalam tali utama. Kemudian, mata kail akan diikat terus di hujung tali utama, satu ikatan dengan menggunakan getah atau cebisan kayu sebagai penghenti akan diikat di tali utama tadi antara batu ladung dan mata kail. Jarak antara batu ladung dan mata kail itulah yang akan menjadi perambut. Cara ini lebih efektif kerana dasar sungai bereba banat dan cara pancing dasar sebegini memudahkan untuk memutuskan tadi jika tersangkut dan mengikatnya semula tanpa bersusah payah memasang swivel, clip ataupun leader. Dengan kaedah tersebut hasilnya, Yan, Syam dan Khuzaifah berjaya mendaratkan beberapa ekor kelah dengan jarak waktu makannya antara dua hingga tiga jam seekor. Hari ketujuh Di hari terakhir ini, sebaik selesai bersarapan pagi, kami berkemas, membongkar khemah dan mengutip sampah tidak boleh lupus untuk dibawa pulang. Pukul 9.30 pagi bot bergerak dan kami tiba di jeti pada sekitar 2.30 petang.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035