|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BARU-baru ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menetapkan waktu bekerja semua penjawat awam negeri pukul 12.30 tengah hari pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurut baginda, keputusan itu adalah bagi memberi peluang kepada penjawat awam untuk memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadan di samping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari.
Kerajaan Negeri Sembilan kemudian membenarkan semua penjawat awam wanita termasuk bukan Islam di negeri tersebut pulang seawal pukul 2 petang pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan.
Pengurangan waktu bekerja di bulan Ramadan itu bukan sesuatu yang baharu kerana semua negara Arab Teluk seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah mengurangkan tempoh bekerja untuk umat Islam sepanjang Ramadan sejak bertahun lalu.
Kementerian Tenaga Kerja Arab Saudi, misalnya, telah menetapkan waktu bekerja rasmi bagi institusi swasta dan kerajaan sepanjang Ramadan hanya enam jam sehari.
Pada tahun lalu, waktu bekerja rasmi bagi kakitangan awam di UAE adalah bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 2.30 petang dari Isnin hingga Khamis.
Waktu bekerja pada Jumaat pula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Menyentuh tentang pengurangan waktu bekerja itu, Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, langkah mengizinkan balik awal itu merupakan satu inisiatif amat baik.
Katanya, ini kerana umat Islam mudah menunaikan solat Jumaat pada hari itu dan membolehkan golongan muslimat untuk berehat.
“Kaum lelaki (beragama Islam) mudah menunaikan solat Jumaat dan kaum wanita (muslimat) boleh berehat sekejap waktu tengah hari untuk lebih kuat menyediakan juadah berbuka bersama anak-anak,” ujarnya kepada Kosmo! yang mengulas tahun kedua Pahang menetapkan waktu bekerja penjawat awam negeri pada setiap Jumaat dalam bulan Ramadan.
Beliau berkata, penetapan waktu bekerja itu juga memberikan sedikit kerehatan pada waktu petang dan memudahkan semua umat Islam menunaikan ibadat tarawih di sebelah malam di negeri tersebut.
“Keistimewaan Ramadan, jika mereka terlelap atau tertidur pun selepas balik daripada kerja, tidur tersebut masih berpahala, berbanding membuat perkara maksiat,” ujarnya.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dr. Azri Bhari berkata, Ramadan adalah bulan yang terlalu istimewa buat umat Islam.
Menurutnya, golongan muda yang beragama Islam boleh melipatkan ganda aktiviti yang membawa ganjaran pahala sepanjang bulan Ramadan.
“Pertamanya, adalah memperbanyakkan solat. Kita susuli dengan solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat wajib.
“Sebelah malamnya, kita tambah dengan solat tawarih dan solat witir. Sebagaimana yang kita ketahui dalam bulan Ramadan, solat sunat akan mendapat pahala seperti solat wajib,” katanya.
Beliau berkata, pahala besar akan diperoleh seperti memperbanyakkan membaca dan bertadarus al-Quran, memberi makanan, kebajikan lain, bersedekah serta menemui malam lailatulqadar, hari yang ganjarannya lebih baik dari 1,000 bulan. – KOSMO! ONLINE
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |